Monday 11 March 2013

Bahasa Melayuku..

Pada hari Isnin yang lepas, saya telah melihat rakan-rakan saya membuat penyampaian set induksi untuk pengajaran mikro kami kerana kami akan membuat praktikal di semester akan datang. Melihat rakan-rakan membuat pengajaran mikro itu, saya dapat merasakan rakan-rakan saya sudah bersedia untuk menjadi guru yang baik nanti cuma tidak dinafikan kami masih terlalu kekok untuk berdiri di hadapan, barangkali kami masih terlalu cetek dengan pengalaman. Walau bagaimanapun, ada rakan yang petah dan berani melontarkan kata-kata ketika berdiri di hadapan khalayak.
         Saya juga berbangga kerana rakan-rakan saya boleh menggunakan bahasa baku dengan baik ketika melakukan penyampaian di hadapan kelas walaupun masih terdapat sedikit kepelatan kerana masing-masing selalu bertutur dalam bahasa dialek. Di dalam kumpulan kuliah kami ini, terdapat seorang pelajar cina yang bernama Tee Ting Ting. Selama mengenali Ting Ting, saya kagum dengan kebolehan beliau menggunakan bahasa baku kerana kebanyakkan pelajar bukan bumiputera kurang fasih menuturkan Bahasa Melayu dengan baik. Ketika pengajaran mikro juga, Ting Ting dapat melakukan dengan baik dan salah satu faktornya adalah dari segi bahasanya. Beliau boleh memberikan arahan, melontarkan soalan, dan bertanya kepada pelajar dengan baik menggunakan bahasa baku dan kami yang menjadi ‘anak murid’ pada hari tersebut dapat memahami maksud atau perkara yang ingin Ting Ting sampaikan.
          Bagi seorang bakal guru, amat penting untuk kita bertutur dalam Bahasa Melayu standard dengan baik kerana wadah penyampaian kurikulum di sekolah adalah melalui bahasa dan seperti yang kita sedia maklum, bahasa pengantar di sekolah adalah Bahasa Melayu. Begitu juga dengan masyarkat, kita mestilah mampu menuturkan Bahasa Melayu kerana salah satu identiti bangsa adalah bahasanya. Jika kita prihatin dan sayangkan bangsa dan negara, pelajarilah khazanah bahasa kita dengan sebaik mungkin agar ia akan sentiasa terpelihara. Bahasa merupakan jiwa bangsa. Jika bukan kita, bangsa melayu sendiri mempertahankan bahasa kita, siapa lagi yang hendak berbuat demikian? Tepuk dada tanya hati semua.

No comments:

Post a Comment