Thursday 21 March 2013

Bahasaku, Kebanggaanku..

Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri saya kali ini berkaitan dengan situasi yang saya alami di dalam kuliah pagi tadi. Kuliah tersebut diadakan dari pukul 8-10 pagi tadi (20.3.2013). Seperti biasa, saya mengambil tempat duduk bersama rakan-rakan saya sebelum pensyarah kami masuk ke kelas. Tidak lama kemudian, selepas pensyarah kami masuk ke kelas, muncul seorang pelajar antarabangsa yang berbangsa Korea. Kami semua berasa pelik kerana selama 5 minggu kuliah berlangsung, kami tidak mempunyai pelajar antarabangsa dalam kursus tersebut. Barangkali, pelajar ini baru mendaftar dan ketinggalan beberapa kelas dari minggu pertama sesi pembelajaran diadakan. Pensyarah kami memberitahu bahawa beliau akan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajarkan kursus tersebut memandangkan kami mempunyai pelajar antarabangsa. Kuliah berlangsung seperti biasa cuma pensyarah kami menggunakan bahasa Inggeris untuk menyampaikan kuliah secara selang-seli untuk memudahkan kami memahami sesi pembelajaran tersebut. 

Kemudian, pensyarah kami meminta kami membaca teks dalam buku rujukan yang kami beli dan mengatakan beliau akan menanyakan pendapat kami berkenaan kefahaman kami berkaitan dengan teks tersebut. Pensyarah kami memberitahu pelajar antarabangsa tersebut sama ada beliau memahami perkara yang disampaikan. Pensyarah kami juga bertanya kepada pelajar itu sama ada beliau boleh mengikuti kuliah tersebut atau sebaliknya. Tanpa disangka-sangka, pelajar tersebut menggunakan bahasa Melayu dan memberitahu bahawa beliau memahami sedikit bahasa Melayu. Riuh sekejap kelas kami dek kerana gembira dengan pengakuan pelajar Korea tersebut. 

Saya berasa kagum dengan pelajar tersebut kerana mampu berbahasa Melayu kerana di negara kita, menjadi satu kelebihan kepada orang luar yang berada di Malaysia untuk berkomunikasi kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris. Saya berasa bangga kerana bahasa kita diketahui oleh orang asing sehingga mereka bersedia untuk belajar dalam bahasa kita. Ini merupakan satu penghargaan kepada bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu kita sudah dipelajari orang asing dan kita sebagai penutur jati Bahasa Melayu perlu sentiasa berbangga menggunakan bahasa kebangsaan kita walau di mana sahaja kita berada. Sekian.

Pasaraya atau pasar raya dan pasar raya besar ?


       Antara ejaan pasaraya dan pasar raya, ejaan manakah lebih tepat? Bagaimana pula dengan ejaan pasar raya besar? Persoalan ini agak menarik untuk diperkatakan kerana kedua-dua bentuk ejaan, iaitu pasaraya dan pasar raya sememangnya betul tetapi penggunaannya perlulah tepat. Dalam pembentukan kata majmuk, ejaan pasaraya sepatutnya dieja terpisah, iaitu pasar raya. Ejaan yang dianggap betul sekarang ialah ejaan yang dipisahkan, iaitu pasar raya dan pasar raya besar kerana setiap kata mempunyai makna dan boleh berdiri sendiri. Pembentukan frasa pasaraya ini merupakan padanan untuk istilah hypermarket dalam bahasa Inggeris. 

      Walau bagaimanapun, bentuk ejaan pasaraya dan pasaraya besar sepatutnya diterima semula kerana frasa pasaraya merupakan satu akronim. Tambahan pula, pasaraya dan pasaraya besar sebenarnya mempunyai makna yang khusus, bukan lagi makna asal pasar yang berkonsep tradisional, manakala pasar raya pula bukan pasar yang hanya besar dari segi saiznya. Pasaraya merupakan pasar yang berkonsep baru dan khusus, iaitu kedai moden yang besar yang menjual pelbagai barang makanan dan keperluan lain secara layan diri. Dengan demikian, sebaiknya ejaan pasaraya diterima kembali sebagai satu akronim. 

       Ejaan pasaraya besar juga sepatutnya diterima kerana sekiranya diasingkan (pasar raya besar) akan membawa maksud pasar besar besar. Dari segi pembentukan kata, bentuk ini dianggap lewah kerana menggunakan dua kata yang bersinonim. Kata ‘raya’ itu sendiri sudah bermaksud besar. Namun, sekiranya dieja pasaraya, pasar tersebut bukan lagi dianggap sebagai pasar biasa, tetapi sudah membawa konsep khusus seperti yang telah dijelaskan. Dengan demikian, pasaraya besar akan menepati maksud pasaraya yang lebih besar daripada pasaraya biasa.

        Jadi, akronim yang sudah mantap dan difahami maksudnya wajar diterima kerana masih ada banyak lagi akronim yang masih digunakan, hingga kini. Bentuk-bentuk akronim juga makin bertambah mengikut peredaran masa dan keperluan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Akronim sememangnya perlu terutamanya untuk meringkaskan rangkai kata yang panjang. Akronim juga merupakan salah satu cirri keunikan bahasa Melayu, akan tetapi kaedah pembentukan akronim yang tidak menepati sistem bahasa Melayu perlu diambil kira.
Sumber: ‘Di sebalik Kata’ oleh Zaidi Ismail (2008:31)




Wednesday 20 March 2013

“Thank You” atau “Terima Kasih”


Apa khabar pembaca sekalian? Diharap semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca berkaitan dengan pemerhatian saya terhadap sikap sesetengah masyarakat kita dalam menggunakan bahasa Melayu. Kejadian ini saya lihat ketika saya menaiki bas untuk balik ke kolej kediaman saya selepas habis kuliah. Hal ini kerana pengangkutan utama para pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman adalah bas yang telah disediakan oleh pihak universiti. 

Baiklah, kelazimannya, para pelajar yang turun dari bas selepas tiba di destinasi akan mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu bas yang bertugas. Dipendekkan cerita, ketika saya menunggu giliran untuk turun dari bas tersebut, saya memerhatikan gelagat dua orang pelajar antarabangsa dari China. Mereka mengucapkan ‘terima kasih’ dalam bahasa Melayu kepada pemandu bas tersebut. Bangga saya dengan sikap pelajar antarabangsa ini kerana semasa berada di dalam bas tadi saya lihat mereka berdua bertanya kepada pelajar Melayu cara untuk mengungkapkan beberapa perkataan dalam bahasa Melayu. Saya melihat mereka begitu teruja mempelajari bahasa Melayu. Di sini kita sebagai penutur jati bahasa Melayu mesti mengambil iktibar bahawa bahasa rasmi kita semakin terkenal dalam kalangan orang asing. Kenapa kita masyarakat Malaysia sendiri lebih teruja menggunakan bahasa asing dalam pertuturan seharian? Barangkali pelajar antarabangsa ini mempunyai kesedaran bahawa mengetahui serba sedikit bahasa Melayu di Malaysia boleh memudahkan urusan mereka di negara ini. Malangnya, ketika turun dari bas tersebut saya dapati beberapa pelajar Melayu lebih ringan mulut mengucapkan “thank you” kepada pemandu bas tersebut.

Sepatutnya, kita yang menjadi contoh kepada orang asing dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita berbanding bahasa Inggeris kerana perlakuan kita ini mampu membuka mata orang asing untuk mempelajari bahasa Melayu. Jika kita sendiri mengabaikan bahasa rasmi negara, bagaimana kita hendak mengangkat bahasa kita di mata dunia? Justeru, kita hendaklah meringankan mulut menggunakan bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian mahupun dalam urusan seharian. Kelaziman ini akan menimbulkan tabiat dalam diri kita penutur natif bahasa Melayu. Bahasa jiwa bangsa dan kita mestilah menghayati slogan ini dengan sebaik-baiknya. Tepuk dada, tanya hati wahai pembaca sekalian. Sekian.

Tuesday 19 March 2013

K/P atau K.P ?


Salam sejahtera warga blog sekalian. Kali ini saya akan menulis berkenaan dengan satu perkara yang saya baca dalam buku ‘Di Sebalik Kata’ yang ditulis oleh Zaidi Ismail (2008). Tujuan saya memilih entri begini untuk bersama-sama membuka mata kita tentang ejaan yang salah tetapi kita tidak perasan ataupun peka dengan ejaan tersebut. Baiklah, dalam buku ini ada persoalan yang penulis ketengahkan, iaitu singkatan kad pengenalan sama ada K/P atau K.P. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2005:625) mentakrifkan kad pengenalan sebagai kad yang mengandungi keterangan tertentu tentang diri seseorang, misalnya nama, alamat, bangsa, dan lain-lain butiran peribadi yang penting. Kad pengenalan ialah nama am. Jadi, apabila menulis hendaklah dengan huruf kecil keseluruhannya kecuali pada awal ayat dan ditulis dengan huruf besar ialah huruf K. Perkataan kad pengenalan biasanya ditulis Kad Pengenalan, iaitu menggunakan huruf besar pada setiap pangkal perkataan. Selain ditulis dalam perkataan yang penuh, kad pengenalan juga biasanya ditulis dalam bentuk singkatan dan singkatan yang biasanya digunakan ialah k/p atau K/P (huruf besar). Persoalannya, adalah cara penulisan itu betul menurut sistem Bahasa Melayu. 


Dalam penulisan singkatan, perkara-perkara berikut harus dipatuhi, iaitu:
1.  Singkatan sapaan, jawatan, dan pingat yang lebih daripada satu perkataan tidak menggunakan titik dan ditulis dengan huruf besar semuanya. Contohnya:
YB – Yang Berhormat
AMN – Ahli Mangku Negara

2.   Singkatan gelaran, jawatan, pangkat dan sapaan yang terdiri daripada satu perkataan pula ditulis menggunakan titik. Contohnya:
DR – Doktor
Prof. – Profesor

3.     Singkatan yang sudah umum juga ditulis menggunakan titik, manakala untuk singkatan yang terdiri daripada tiga huruf atau lebih ditulis menggunakan satu titik. Contohnya:
b.p – bagi pihak
dll. – dan lain-lain

4.    Singkatan nama ibu negeri atau bandar, negara, jabatan, institusi, organisasi, dan nama-nama khas yang seumpamanya ditulis tanpa menggunakan titik. Huruf yang digunakan juga ialah huruf besar yang merupakan huruf pertama setiap perkataan. Contohnya:
KB – Kota Bharu
UK – United Kingdom

5.       Singkatan khusus yang menjadi lambang atau simbol tidak menggunakan titik. Contohnya:
km – kilometer
kg – kilogram

Hal ini menunjukkan singkatan untuk kad pengenalan termasuk dalam perkara ketiga, iaitu singkatan umum. Cara menulis singkatan kad pengenalan ialah k/p atau K/P adalah tidak tepat. Singkatan yang sebetulnya k.p atau K.P. Jadi, pembaca sekalian, kita sudah mengetahui singkatan yang sebetulnya untuk kad pengenalan dan marilah kita sama-sama gunakan singkatan yang sebetulnya mengikut sistem bahasa.

Monday 18 March 2013

Bahasa SMS


      Baiklah pembaca sekalian, pada entri kali ini saya akan membincangkan tentang sistem pesanan ringkas (SMS) dalam penggunaan bahasa dalam masyarakat kita. Seperti yang kita sedia maklum, ledakan teknologi multimedia dan sistem telekomunikasi menyebabkan masyarakat kita memiliki sekurang-kurangnya satu telefon bimbit setiap seorang. Penggunaan telefon bimbit semakin meluas dalam kalangan masyarakat kerana telefon bimbit memudahkan masyarakat kita berkomunikasi walaupun tinggal berasingan. Tidak dinafikan, penggunaan telefon bimbit sememangnya memudahkan para pengguna dari segi penjimatan masa dan kos di samping mampu merapatkan hubungan sesama mereka, terutamanya dalam kalangan rakan-rakan ataupun ahli keluarga.
       
      Penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) sememangnya sering dilakukan oleh pengguna telefon bimbit, terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini kerana penggunaan SMS lebih menjimatkan kos berbanding melakukan panggilan terus kepada rakan-rakan atau orang yang ingin mereka hubungi. Kita selalunya menggunakan singkatan penggunaan simbol, kod atau perkataan dalam menghantar SMS untuk memudahkan mereka menaip teks SMS tersebut dengan lebih cepat. Mengulas mengenai perkembangan bahasa SMS, Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Sariyan, menyatakan bahawa langkah meminimumkan bahasa ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana ruang yang disediakan terhad. Tambahan, singkatan, lambang, angka atau kod tertentu banyak digunakan untuk menggantikan maksud sebenar dan kadang kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung pada perkataan yang lebih pendek supaya maksud yang disampaikan difahami oleh penerima SMS tersebut.

      Namun begitu, cuba anda  lihat video yang saya sertakan sekali dalam entri ini, penggunaan SMS yang terlalu menggunakan singkatan menyebabkan maksud yang ingin disampaikan menimbulkan kekeliruan kepada penerima SMS tersebut. Tambahan pula, maksud yang ingin disampaikan juga berubah kerana singkatan perkataan yang digunakan mempunyai maksud lain dalam Bahasa Melayu. Penggunaan singkatan sebegini secara berterusan dan menjadi satu kelaziman akan menyebabkan kita terbawa-bawa menggunakan singkatan tersebut dalam penggunaan rasmi Bahasa Melayu sekali gus merosakkan bahasa kita. Pada hemat saya, tidak salah untuk kita menggunakan ringkasan dalam penulisan SMS kerana ruang yang terhad tetapi kita sebagai pengguna Bahasa Melayu perlu mengelakkan penggunaan bahasa SMS ini dalam penggunaan bahasa secara rasmi atau formal. Selain itu juga, kita perlu memastikan bahawa penerima SMS tersebut memahami ringkasan yang kita buat kerana jika ringkasan tersebut tidak difahami dan kebetulan mempunyai maksud lain sama ada positif atau negatif, ia akan menyebabkan maksud SMS kita berubah.

      Akhir kata, kita sebagai pengguna bahasa harus menekankan keaslian penggunaan Bahasa Melayu dalam perkara rasmi dan tidak terbawa-bawa dengan pengaruh bahasa rojak seperti dalam SMS. Penggunaan singkatan dalam SMS boleh digunakan tetapi penggunaan bahasa tersebut tidak sewajarnya diketengahkan dalam urusan rasmi agar sistem tatabahasa Bahasa Melayu kita terus terpelihara. Sekian.