Friday 15 March 2013

Lagu Rojak

Salam sejahtera pembaca sekalian. Semoga kalian sentiasa sihat hendaknya. Kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca sekalian berkaitan dengan bahasa rojak yang digunakan dalam media cetak atupun media elektronik. Hal ini kerana acap kali kita melihat bahasa rojak sering digunakan dalam penulisan akhbar, skrip drama atau filem dan dalam lirik lagu.


        Apa yang dimaksudkan dengan bahasa rojak? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994:88), bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk dari segi penggunaan kata-kata oleh penuturnya dan sebahagiannya dari perkataan Bahasa Melayu dan sebahagian dalam Bahasa Inggeris. Cuba kita lihat bahasa rojak (lagu rojak) yang sedang menular dalam penulisan lirik lagu di negara kita pada masa ini. Apabila memperkatakan perihal lirik lagu secara tidak langsung irama atau lagunya akan dikaitkan juga kerana irama dan lirik atau lirik dan lagu sememangnya tidak dapat dipisahkan.

       Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan semua pengendali stesen swasta di negara supaya memastikan semua lagu yang disiarkan tidak termasuk dalam Senarai Lagu yang Tidak Boleh Disiarkan. Antara lagu rojak yang tidak diluluskan siarannya adalah lagu Seksis dan lagu Diva. Pengharaman lagu Seksis contohnya, terdapat penggunaan istilah lady driver dalam ayat Bahasa Melayu. Frasa ini sepatutnya tidak digunakan dalam ayat Bahasa Melayu dan jika ingin digunakan perlulah digantikan dengan padanannya dalam Bahasa Melayu, iaitu pemandu wanita. Judul lagu ‘Seksis’ juga tidak ada makna, baik dalam Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Melayu.

       Justeru, penggiat seni seharusnya memikirkan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat kerana karya yang dihasilkan mampu mempengaruhi dan memberikan kesan kepada masyarakat khususnya generasi muda. Isu lagu rojak, walaupun pada pandangan sesetengah orang merupakan isu yang kecil dan remeh, jika terus dibiarkan tanpa kawalan boleh merosakkan bahasa ibunda kita.

       Penggunaan bahasa rojak dalam lirik bukan setakat menghasilkan lagu rojak tetapi turut merendahkan martabat bahasa kebangsaan dan akan menyebabkan kita kehilangan identiti bangsa dan budaya. Gubahan lirik lagu adalah satu kaedah berbahasa dan seharusnya digunakan sebagai ruang mengungkapkan fikiran dan budaya bangsa Malaysia.

      Oleh hal sedemikian, penggiat seni atau pihak-piak yang terlibat seperti penulis lirik, penggubah dan penerbit disarankan agar sentiasa merujuk terlebih dahulu lirik lagu yang dihasilkan oleh mereka kepada pihak yang arif tentang bahasa. Banyak pihak yang boleh dirujuk untuk menyemak penggunaan bahasa dalam lirik lagu, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar karya yang dihasilkan mengekalkan keaslian bahasa Melayu dan menjadi wadah untuk memartabatkan bahasa kita kepada masyarakat ataupun kepada dunia luar.

Thursday 14 March 2013

Kesalahan Ejaan..


      Entri kali ini saya akan berkongsi dengan warga blog sekalian berkenaan dengan kesalahan ejaan yang terdapat pada papan-papan tanda dan penunjuk arah ke pusat bandar yang selalu kita lihat. Saya memilih entri sebegini kerana ketika saya mencari bahan-bahan rujukan di perpustakaan saya terpandang satu buku yang bertajuk “Di Sebalik Kata” yang ditulis oleh Zaidi Ismail pada tahun 2008. Jadi, apabila membaca buku tersebut saya mengetahui tentang  pengalaman beliau tentang sistem ejaan yang terdapat pada papan-papan tanda atau penunjuk arah ketika menuju ke pusat-pusat bandar dan kesalahan  yang terdapat pada papan tanda tersebut. Berikut merupakan contoh yang kesalahan yang beliau nyatakan dalam penulisan beliau, iaitu “Kuala Kangsar Bandar Diraja”  atau “Kuala Kangsar Bandar Diraja”. Menurut Kamus Dewan Edisi Kedua (1993:307), kata diraja sebenarnya kata yang digunakan dalam sastera lama, iaitu kependekan daripada kata adiraja. Hal ini bermakna kata tersebut bukan berasal daripada kata dasar raja yang menerima imbuhan di-. Jadi, imbuhan di- dalam frasa ‘Bandar Diraja’ bukanlah berfungsi sebagai sendi nama ataupun imbuhan kerana kata diraja merupakan kata dasar. Oleh itu, ejaan yang betul ialah “Bandar Diraja”.
                
      Pengalaman beliau di Kelantan pula berlainan seperti di Kuala Kangsar, Perak tadi. Beliau mendapati ada papan tanda yang mempunyai kecenderungan penggunaan baru untuk kata diraja, iaitu D’Raja atau D’ Raja. Kata ini digunakan untuk menamakan satu kawasan projek, iaitu “Projek D’Raja”. Penggunaan D’ dalam frasa tersebut sebenarnya adalah satu bentuk ejaan yang dipengaruhi oleh bentuk ejaan yang digunakan dalam bahasa Perancis.

    Jadi, apa pengajaran yang kita perolehi daripada pengalaman penulis buku ini pembaca sekalian? Sepatutnya pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil berat dan menitikberatkan penggunaan sistem Bahasa Melayu agar keaslian bahasa kita tetap terjaga , bukannya sewenang-wenang meletakkan ejaan seperti yang telah dinyatakan oleh penulis dalam bukunya. Barangkali, mereka beranggapan perkataan pada papan tanda dan penunjuk arah ini tidak begitu penting seperti penulisan ilmiah yang menitikberatkan bahasa kebangsaan kita. Ketidakselarasan dan kesalahan bentuk ejaan ini tentu sekali akan mengelirukan pengguna bahasa, khususnya pelajar sekolah. Tidak mustahil mereka akan meniru contoh ejaan tersebut dalam penulisan mereka di sekolah dan perkara ini jika tidak diberi perhatian akan menyebabkan pencemaran bahasa dalam bahasa ibunda kita. 
       
   Sebaik-baiknya, kita merujuk kepada sistem tatabahasa yang telah dibuat untuk menyelaraskan penggunaan bahasa kita. Wadah penyampaian bahasa boleh dalam pelbagai bentuk dan salah satunya adalah melalui papan-papan tanda dan penunjuk arah atau iklan-iklan yang diletakkan di sepanjang jalan kerana pengguna akan sering kali melalui jalan raya tersebut dan faktor tersebut yang mampu mempengaruhi pengguna bahasa. Sekian sahaja entri saya kali ini, semoga kita bertemu lagi di entri akan datang.

Wednesday 13 March 2013

Kata-kata sapaan..

       Salam sejahtera para pembaca sekalian. Semoga semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Baiklah, pada entri kali ini, saya akan berkongsi dengan pembaca tentang kata-kata sapaan atau panggilan hormat kepada orang-orang tertentu. Saya terdetik untuk menulis entri sebegini ketika saya  berada di dalam bilik kuliah dan pada ketika itu, Dr Siti Saniah, iaitu pensyarah Sosiolinguistik saya sedang memberikan kuliah berkaitan dengan mikrososiolinguistik dan makrososiolinguistik. Dalam topik mikrososiolinguistik dan makrososiolinguistik ini, kami didedahkan dengan kata-kata  sapaan hormat kepada orang-orang tertentu mengikut pangkat, umur ataupun gelaran. Hal ini kerana mikrososiolinguistik dan makrososiolinguistik merupakan bidang yang mengkaji perilaku masyarakat ketika berinteraksi dengan orang lain sama ada dalam konteks formal atau informal.

      Saya rasa sangat penting untuk kita mempunyai ilmu pengetahuan tentang kata-kata sapaan ini kerana kita akan berkomunikasi dengan ramai orang dan kadang kala kita sendiri tidak peka atau tidak mengetahui status seseorang tersebut. Kita tidak sepatutnya menyapa seseorang dengan satu panggilan yang dirasakan kurang sesuai jika kita tidak mengetahui status atau latar belakang sebenar seseorang itu.

       Kadangkala, kita merasakan kata-kata sapaan atau panggilan hormat ini merupakan sesuatu yang remeh dan tidak perlu kita ambil pusing. Tanggapan ini salah sama sekali kerana perkara ini merupakan sesuatu yang sangat penting jika kita hendak menjalani temu duga untuk mendapatkan pekerjaan atau ketika menemu ramah orang-orang penting dan orang-orang kenamaan atau berpangkat. Jadi, sebelum memulakan interaksi dengan orang lain kita harus menyelidik latar belakang seseorang tersebut terlebih dahulu. Hal ini kerana terdapat sesetengah orang yang sangat menitikberatkan kata-kata sapaan dan panggilan ini  dan jika kita tersilap menyapa dengan panggilan yang tidak sepatutnya, kemungkinan tujuan komunikasi yang kita jalankan tidak tercapai.

      Oleh itu, kita seharusnya menggunakan sapaan atau panggilan yang betul ketika menegur atau bercakap dengan orang lain. Jika orang yang baru kita kenali, seelok-eloknya kita menggunakan panggilan ‘saudara’, ‘saudari’, ‘encik’ atau ‘puan’ mengikut kepada faktor usia seseorang itu. Keberkesanan komunikasi juga terletak pada kata-kata sapaan atau panggilan yang betul, jadi sama-samalah kita mengamalkan dalam komunikasi lebih-lebih lagi dalam situasi formal. Sekian sahaja entri saya kali ini.

Tuesday 12 March 2013

Osman Baku..

Entri kali ini saya akan berkongsi pandangan dengan warga blog sekalian berkaitan dengan salah satu drama televisyen yang sedang ditayangkan di TV1 yang bertajuk ‘Osman Baku’. Cuba tengok video yang saya selitkan bersama ini.

     

   Video ini merupakan sedutan daripada drama Osman Baku yang memarahi seorang doktor kerana menggunakan bahasa rojak, iaitu menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Inggeris ketika bercakap dengan pesakit. Watak Osman Baku dalam drama ini sangat memberi pengajaran kepada masyarakat sekiranya kita mendalami mesej yang ingin disampaikan. Saya sangat menyukai drama ini kerana drama sebegini sedikit sebanyak mampu mencelikkan minda masyarakat kita yang semakin giat menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian.  
    Jika kita asyik menggunakan bahasa asing dalam kehidupan seharian, di mana letaknya bahasa ibunda kita sendiri? Perkara yang akan menjadi  kelaziman kita adalah perkara yang kita kerapkali  gunakan dalam kehidupan. Begitu juga bahasa, jika sering kali kita menuturkan bahasa asing melebihi bahasa kita sendiri, saya yakin suatu hari nanti, kita sendiri pasti lupa bagaimana menuturkan bahasa kita. Contohnya, watak doktor dalam drama Osman Baku yang saya selitkan ini, hendak bercakap Bahasa Melayu baku pun tidak fasih dan dicampuradukkan dengan Bahasa Inggeris. Sepatutnya, beliau mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu standard dengan baik agar bila menemu bual  pesakit-pesakit nanti , beliau akan lebih cakna dengan keadaan kesihatan pesakit. Bayangkan, jika doktor ini bercakap dengan orang kampung yang langsung tiada pengetahuan dalam Bahasa Inggeris, sudah pasti mesej yang hendak disampaikan tidak begitu berkesan.
    Sedihnya, pada zaman millenium, ini ramai ibu bapa di luar sana yang mendidik anak-anak mereka  dengan berkomunikasi melalui bahasa asing. Seakan-akan, Bahasa Melayu kita tidak cukup ‘kuat’ untuk menyampaikan perkara-perkara yang berguna. Cuba kita lihat kesungguhan orang asing mempelajari bahasa kita, mereka sangat teruja untuk belajar mendalami Bahasa Melayu untuk menambahkan ilmu pengetahuan mereka, sedangkan kita penutur jati Bahasa Melayu sering mengabaikan bahasa sendiri. Jika kita hayati kata-kata Hang Tuah yang mengatakan "tidak akan Melayu hilang di dunia" salah satu sebabnya adalah dari segi bahasa. Bahasa merupakan jiwa bangsa, jika bangsa sendiri tidak mengambil peduli bahasa ibunda, nescaya bangsa kita pun orang tidak kenal pada suatu tika nanti. Marilah kita sama-sama menyemai dalam diri agar sentiasa mengamalkan bahasa kebangsaan kita dalam pertuturan mahupun penulisan seharian.


Monday 11 March 2013

Bahasa Melayuku..

Pada hari Isnin yang lepas, saya telah melihat rakan-rakan saya membuat penyampaian set induksi untuk pengajaran mikro kami kerana kami akan membuat praktikal di semester akan datang. Melihat rakan-rakan membuat pengajaran mikro itu, saya dapat merasakan rakan-rakan saya sudah bersedia untuk menjadi guru yang baik nanti cuma tidak dinafikan kami masih terlalu kekok untuk berdiri di hadapan, barangkali kami masih terlalu cetek dengan pengalaman. Walau bagaimanapun, ada rakan yang petah dan berani melontarkan kata-kata ketika berdiri di hadapan khalayak.
         Saya juga berbangga kerana rakan-rakan saya boleh menggunakan bahasa baku dengan baik ketika melakukan penyampaian di hadapan kelas walaupun masih terdapat sedikit kepelatan kerana masing-masing selalu bertutur dalam bahasa dialek. Di dalam kumpulan kuliah kami ini, terdapat seorang pelajar cina yang bernama Tee Ting Ting. Selama mengenali Ting Ting, saya kagum dengan kebolehan beliau menggunakan bahasa baku kerana kebanyakkan pelajar bukan bumiputera kurang fasih menuturkan Bahasa Melayu dengan baik. Ketika pengajaran mikro juga, Ting Ting dapat melakukan dengan baik dan salah satu faktornya adalah dari segi bahasanya. Beliau boleh memberikan arahan, melontarkan soalan, dan bertanya kepada pelajar dengan baik menggunakan bahasa baku dan kami yang menjadi ‘anak murid’ pada hari tersebut dapat memahami maksud atau perkara yang ingin Ting Ting sampaikan.
          Bagi seorang bakal guru, amat penting untuk kita bertutur dalam Bahasa Melayu standard dengan baik kerana wadah penyampaian kurikulum di sekolah adalah melalui bahasa dan seperti yang kita sedia maklum, bahasa pengantar di sekolah adalah Bahasa Melayu. Begitu juga dengan masyarkat, kita mestilah mampu menuturkan Bahasa Melayu kerana salah satu identiti bangsa adalah bahasanya. Jika kita prihatin dan sayangkan bangsa dan negara, pelajarilah khazanah bahasa kita dengan sebaik mungkin agar ia akan sentiasa terpelihara. Bahasa merupakan jiwa bangsa. Jika bukan kita, bangsa melayu sendiri mempertahankan bahasa kita, siapa lagi yang hendak berbuat demikian? Tepuk dada tanya hati semua.