Wednesday 13 March 2013

Kata-kata sapaan..

       Salam sejahtera para pembaca sekalian. Semoga semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Baiklah, pada entri kali ini, saya akan berkongsi dengan pembaca tentang kata-kata sapaan atau panggilan hormat kepada orang-orang tertentu. Saya terdetik untuk menulis entri sebegini ketika saya  berada di dalam bilik kuliah dan pada ketika itu, Dr Siti Saniah, iaitu pensyarah Sosiolinguistik saya sedang memberikan kuliah berkaitan dengan mikrososiolinguistik dan makrososiolinguistik. Dalam topik mikrososiolinguistik dan makrososiolinguistik ini, kami didedahkan dengan kata-kata  sapaan hormat kepada orang-orang tertentu mengikut pangkat, umur ataupun gelaran. Hal ini kerana mikrososiolinguistik dan makrososiolinguistik merupakan bidang yang mengkaji perilaku masyarakat ketika berinteraksi dengan orang lain sama ada dalam konteks formal atau informal.

      Saya rasa sangat penting untuk kita mempunyai ilmu pengetahuan tentang kata-kata sapaan ini kerana kita akan berkomunikasi dengan ramai orang dan kadang kala kita sendiri tidak peka atau tidak mengetahui status seseorang tersebut. Kita tidak sepatutnya menyapa seseorang dengan satu panggilan yang dirasakan kurang sesuai jika kita tidak mengetahui status atau latar belakang sebenar seseorang itu.

       Kadangkala, kita merasakan kata-kata sapaan atau panggilan hormat ini merupakan sesuatu yang remeh dan tidak perlu kita ambil pusing. Tanggapan ini salah sama sekali kerana perkara ini merupakan sesuatu yang sangat penting jika kita hendak menjalani temu duga untuk mendapatkan pekerjaan atau ketika menemu ramah orang-orang penting dan orang-orang kenamaan atau berpangkat. Jadi, sebelum memulakan interaksi dengan orang lain kita harus menyelidik latar belakang seseorang tersebut terlebih dahulu. Hal ini kerana terdapat sesetengah orang yang sangat menitikberatkan kata-kata sapaan dan panggilan ini  dan jika kita tersilap menyapa dengan panggilan yang tidak sepatutnya, kemungkinan tujuan komunikasi yang kita jalankan tidak tercapai.

      Oleh itu, kita seharusnya menggunakan sapaan atau panggilan yang betul ketika menegur atau bercakap dengan orang lain. Jika orang yang baru kita kenali, seelok-eloknya kita menggunakan panggilan ‘saudara’, ‘saudari’, ‘encik’ atau ‘puan’ mengikut kepada faktor usia seseorang itu. Keberkesanan komunikasi juga terletak pada kata-kata sapaan atau panggilan yang betul, jadi sama-samalah kita mengamalkan dalam komunikasi lebih-lebih lagi dalam situasi formal. Sekian sahaja entri saya kali ini.

No comments:

Post a Comment