Saturday 30 March 2013

Semangat Nasionalisme


Semangat nasionalisme adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara dengan mewujudkan satu konsep identiti untuk sekumpulan manusia. Secara ringkasnya, semangat nasionalisme merupakan semangat kebangsaan yang mencintai negara sendiri dengan sepenuh hati. Antara salah satu cara untuk mewujudkan identiti negara ialah melalui bahasa. Negara mempunyai bahasa rasmi, iaitu Bahasa Melayu yang menjadi salah satu medium penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh hal sedemikian, kita mesti mencintai bahasa kebangsaan dengan sepenuh hati. 

Kita ambil contoh daripada negara Asia Timur seperti Jepun mereka menggunakan bahasa ibunda dalam segala aspek. Orang luar yang ingin berurusan dengan mereka haruslah mempunyai keupayaan untuk menuturkan bahasa mereka ataupun berkomunikasi menggunakan khidmat penterjemah bahasa. Di sini kita dapat melihat, negara Jepun mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan mereka dengan sepenuh hati. Logiknya, sebagai orang luar yang ingin berurusan dengan negara mereka, kita mesti mempelajari bahasa mereka untuk memudahkan urusan kita di negara mereka. Dari segi pembangunan, negara Jepun memang dikenali sebagai negara yang maju dengan kecanggihan teknologi mereka biarpun mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi mereka. Perkara ini haruslah menyuntik kesedaran kepada kita bahawa negara yang maju tidak semestinya harus bergantung kepada Bahasa Inggeris semata-mata untuk melakar kejayaan. Namun begitu, tidak salah untuk kita mempelajari bahasa Inggeris untuk memudahkan kita dalam urusan yang melibatkan bahasa Inggeris. Masalah pengabaian bahasa selalunya disebabkan faktor individu itu sendiri yang lebih suka menuturkan bahasa asing untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpengetahuan dan berstatus. Kesedaran untuk memartabatkan bahasa kita harus wujud dalam setiap sanubari rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu sendiri.

Oleh itu, kita seharusnya mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan. Bahasa merupakan identiti bangsa dan negara kita. Jika kita tidak mengagungkan bahasa sendiri, tidak mustahil suatu hari nanti bahasa Melayu tidak diketahui anak bangsa kita. Bahasa juga merupakan medium penyatuan masyarakat majmuk di negara kita. Melalui bahasa kita boleh berkomunikasi dan memahami budaya pelbagai kaum di Malaysia. Jadi, setiap lapisan golongan masyarakat harus bersatu padu untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Sekian.

Catat atau Catit?

Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri kali ini saya akan membincangkan serba sedikit mengenai perkataan catat atau catit? Persoalan ini bermain di fikiran saya setelah terbaca satu perkataan tentang penggunaan perkataan catit dalam sebuah majalah hiburan. Baiklah, setelah merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:250) mendefinisikan perkataan catat sebagai menulis atau merakamkan sesuatu (dalam buku dan lain-lain) untuk peringatan (perhatian pada masa hadapan). Manakala, perkataan catit adalah sinonim kepada perkataan catat.

       Saya lebih kerap menggunakan perkataan catat kerana perkataan catit jarang diguna dalam penulisan mahupun pertuturan. Selama ini saya menyangka perkataan catit adalah salah dari ejaannya dan tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Semasa menaip tugasan juga, ketika tersalah mengeja perkataan catat kepada catit, perisian e-kamus dalam komputer riba saya akan secara automatik menukarkan perkataan tersebut kepada perkataan catat.

        Ejaan baku yang sebetulnya bagi perkataan ini ialah catat. Pembaca sekalian boleh membaca maklumat dalam laman sesawang Pusat Persuratan Melayu yang mengatakan ejaan perkataan yang sebetulnya bagi kedua-dua perkataan ini adalah catat. Jadi, walaupun kedua-dua perkataan ini terdapat dalam Kamus Dewan, perkataan yang sewajarnya dan dianggap standard dari segi penggunaannya adalah ejaan catat.

        Saya berharap penulisan saya kali ini mampu memberikan sedikit input yang berguna kepada pembaca tentang ejaan dan penggunaan perkataan catat dan catit ini. Sekian.

Wednesday 27 March 2013

Orang Berbudi Kita Berbahasa

Salam sejahtera pembaca yang dihormati sekalian. Kali ini saya akan berkongsi dengan semua berkaitan dengan pengalaman saya semasa menjalani ujian undang-undang kerana saya sedang dalam proses mengambil lesen kereta. Sebelum menjalani ujian tersebut, kami dikehendaki mendaftar dengan membayar sebanyak dua puluh tujuh ringgit untuk kad ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yuran perkhidmatan dan yuran teori. Saya perhatikan pegawai yang bertugas di situ kelihatan agak sombongg dan tidak melemparkan senyuman kepada orang awam yang datang ke pusat ujian undang-undang tersebut. Ketika itu ada dua orang pegawai yang bertugas dan kelakuan kedua-duanya agak kurang mesra pelanggan. Setelah membayar wang tersebut, saya menunggu giliran untuk masuk ke bilik ujian. Sebelum menduduki ujian tersebut, saya diminta mengambil gambar untuk mendaftar dalam perkhidmatan JPJ. Malangnya, saya agak jengkel dengan sikap pegawai tersebut dalam memberi arahan kerana intonasi suaranya yang agak kasar. Situasinya seperti ini:

Pegawai : Boleh letakkan beg awak di tempat yang disediakan dan sila duduk di kerusi itu.
Saya : Kalau saya ada gambar pasport sendiri, perlu ambil gambar juga ke?
Pegawai : Mesti, sebab ini untuk mendaftarkan awak dalam perkhidmatan JPJ.

Pada pandangan pembaca sekalian, adakah penggunaan bahasa yang digunakan oleh pegawai tersebut sesuai? Pada pandangan saya, pegawai ini gagal menjalankan tugas dengan baik kerana beliau bukan sahaja tidak menggunakan bahasa baku bahkan menggunakan kata panggilan yang tidak sesuai kepada pelanggan. Kata panggilan yang sepatutnya ialah 'cik' atau 'saudari' untuk mewujudkan komunikasi yang berkualiti dan formal. Seeloknya, beliau menjelaskan dengan baik sekiranya pelanggan mengajukan soalan. Sebagai pegawai perkhidmatan awam, seharusnya beliau menggunakan bahasa baku atau bahasa standard dalam menjalankan tugas dan perlu sentiasa memberikan senyuman untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan.

       Selepas saya habis menjawab ujian tersebut, saya pergi ke meja pegawai untuk mendapatkan arahan yang seterusnya. Sekali lagi saya terkejut dengan sikap pegawai tersebut kerana beliau melayan pelanggan sambil menikmati makanan tengah hari. Beliau hanya menggunakan bahasa isyarat semasa menyuruh saya meletakkan ibu jari pada satu mesin untuk melakukan imbasan identiti kerana beliau sedang mengunyah makanan. Pada pandangan saya, perkara ini sangat serius kerana beliau melanggar etika dalam menjalankan tugas. Bayangkan, jika terdapat orang asing yang ingin mendapatkan lesen antarabangsa mendaftar di pusat tersebut dan melihat perlakuan pegawai itu. Hal ini akan memalukan kerana tidak mustahil orang asing tersebut akan memandang serong terhadap perkhidmatan di Malaysia. Tambahan pula, semasa bertugas beliau hanya memakai baju sejuk dan berseluar jean serta menggunakan selipar sahaja.
 
     Seharusnya, sebagai pegawai perkhidmatan awam, beliau harus menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat. Bukan sahaja dari segi etika bekerja, bahkan dari segi layanan kepada pelanggan mestilah sempurna. Selain itu, beliau mestilah menggunakan pakaian formal ketika menjalankan tugas kerana pakaian yang beliau gunakan tidak sesuai dipakai ketika menjalankan tugas secara formal. Jadi, iktibar yang saya dapat daripada pengalaman ini adalah kita harus menjaga budi bicara dan sentiasa menghulurkan senyuman kepada orang lain tidak kira di mana saya berada kerana amalan berbudi bahasa merupakan budaya masyarakat Malaysia. Kita juga harus bijak memilih laras bahasa yang sesuai dengan orang lain dalam pelbagai situasi baik situasi formal atau sebaliknya kerana indah budi kerana bahasa.  Sebelum berlalu keluar dari pusat ujian tersebut, saya sempat mengucapkan terima kasih kepada pegawai itu namun sepi tanpa sebarang sahutan. Para pembaca sekalian, baik buruk diri kita adalah melalui sikap yang kita tonjolkan dan sentiasalah berbuat baik dengan semua orang kerana amalan ini tidak akan pernah merugikan diri kita. 

Akhir kata, pembaca sekalian, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan agar kita sentiasa dipandang sebagai masyarakat yang mempunyai budaya yang kaya dengan budi bahasa.Sekian.

Tuesday 26 March 2013

Baru dan Baharu..


Adakah perkataan baru dan baharu, sama maknanya? Seperti yang kita sedia maklum, ramai yang keliru tentang perkataan baru dan baharu. Menerusi ruangan khidmat nasihat laman Dewan Pustaka dan Bahasa, perkataan baru dan baharu sebagai kata adjektif digunakan dalam konteks rumah baharu, tahun baharu, baju baharu sebaliknya perkataan baru merupakan kata bantu seperti dalam penggunaan ‘baru-baru ini’. Padanan bahasa Inggeris untuk baru adalah just manakala padanan untuk perkataan baharu ialah new. Baiklah, kita telusuri perkataan-perkataan ini mengikut definisi yang tertulis dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan baru mempunyai sepuluh makna (halaman 131), iaitu : 
  1. Belum(tidak)ada sebelumnya, yang belum lama wujud (dikeluarkan, diterbitkan, dsb): negara-negara baru ; kereta jenis baru ; majalah baru; 
  2. Belum pernah atau belum lama dilaksanakan (dicuba, digunakan dsb); cara-cara baru; 
  3. Belum dipakai lagi; atau belum lama dipakai; basikal baru.
  4.  Belum lama lagi menjadi atau berlaku (bekerja, bertindak, dll) sebagai murid baru; ketua baru, 
  5. Masih segar (belum lama dipetik, ditangkap, dsb) ikan baru, 
  6. moden, angkatan baru; 
  7. Belum berapa lama lagi (dahulu) saya baru datang 
  8. Apabila saja, sesudah : baru digertak, dia sudah lari 
  9. Pada masa itulah, pada ketika tertentu (berikutan dengan sesuatu dll) : seepas saya jelaskan. Baru dia sedar, 
  10. Kelihatan masih cantik atau tidak terjejas dsb ( kerana belum sering digunakan, terpelihara dengan baik, dll)

 Manakala, perkataan baharu mempunyai makna baru (rujuk halaman 105). Jadi, perkataan baharu dan baru ini adalah sinonim. Dalam Ruangan Nukleus menyatakan bahawa perkataan baru dan baharu ini merupakan varian, iaitu dua kata yang sama makna dan dieja secara berlainan sedikit. Antara hujahan lain tentang perkataan baru dan baharu ini, kedua-dua perkataan ini menerima pengguguran ‘ha’ kerana kecenderungan penutur asli bahasa Melayu yang terdapat pada sesuatu perkataan seperti perkataan ‘sahaya’(bahasa klasik) menjadi ‘saya’. Perkataan baharu lebih proaktif digunakan dalam wacana bertulis dan menghasilkan kata terbitan seperti memperbaharui, pembaharuan dan pembaharui manakala dalam konteks lisan pula perkataan baru lebih proaktif. Jadi, kedua-dua perkataan baharu dan baru merupakan dua perkataan yang sama makna. Sekian.

Monday 25 March 2013

Teater Putera Cahaya Bulan


Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri pada kali ini saya akan berkongsi tentang pengalaman saya menyaksikan pementasan teater siri jelajah nasional yang bertajuk “Putera Cahaya Bulan”. Teater ini telah diadakan di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, pada tanggal 22 dan 23 Mac 2013 bermula ada pukul 8.30 malam. Pada pandangan saya, teater ini merupakan pementasan teater yang sangat baik kerana pementasannya mampu menarik perhatian dan membawa penonton bersama-sama menghayati perkara yang ingin disampaikan dalam teater itu. 

         Apa yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca adalah berkaitan dengan bahasa yang digunakan dalam teater tersebut. Bahasa yang digunakan dalam teater tersebut adalah bahasa ataupun loghat utara dan sedikit diselang-seli dengan penggunaan bahasa Inggeris. Apa yang saya ingin nyatakan bukan berkaitan keburukan penggunaan bahasa rojak yang digunakan oleh para pelakon dalam teater ini, tetapi berkaitan dengan kehebatan pemilihan bahasa mengikut situasi dalam teater tersebut oleh para pelakon. Pementasan yang berlangsung selama dua jam lebih itu pada saya amat menyeronokkan kerana para pelakon bijak menjiwai watak sungguhpun bahasa yang digunakan adalah loghat utara, tetapi saya mampu memahami dengan baik kerana kebanyakan rakan-rakan saya berasal dari utara. Dialog yang diselang-seli dengan bahasa utara dan bahasa Inggeris tersebut pada saya mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana penonton-penonton pada malam itu sangat terhibur. Penggunaan bahasa rojak itu juga diselitkan dengan unsur-unsur humor yang mampu menarik perhatian penonton.

        Jadi, pada hemat saya bahasa rojak boleh digunakan mengikut situasi-situasi tertentu jika penggunaan bahasa tersebut mampu menimbulkan keberkesanan dalam maklumat yang ingin disampaikan. Akan tetapi, penggunaan bahasa rojak dalam keadaan formal tidak boleh digunakan sama sekali kerana ia mampu menjejaskan keaslian bahasa Melayu. Bahasa kita mempunyai keunikkan yang tersendiri dan bersifat dinamik, jadi pengguna bahasa harus berhati-hati apabila menuturkan atau menggunakan bahasa kebangsaan dalam banyak hal, lebih-lebih lagi dalam situasi formal. Kesimpulannya, Penggunaan bahasa rojak boleh digunakan namun penggunaan mesti dikawal agar identiti bahasa kita tidak terjejas lebih-lebih lagi dalam penerapan semangat cintakan bahasa dalam kalangan masyarakat. Bak kata Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, 'cinta tidak bermakna benci’ yang bermaksud mencintai bahasa kebangsaan tidak semestinya kita membenci bahasa lain kerana melalui bahasa-bahasa lain juga menyebabkan kita mampu memperoleh ilmu pengetahuan. Oleh itu, rasionalnya dalam isu pengabaian bahasa Melayu, sebagai pengguna bahasa yang bijak, bersama-samalah kita menjaga kedaulatan bahasa kita di samping menguasai bahasa-bahasa lain yang mendatangkan kebaikan kepada kita dalam mencari ilmu. Perbuatan mempelajari bahasa asing tidak menjadi alasan untuk kita mengabaikan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu kita sememangnya sudah gah di mata dunia dan tidak mustahil bahasa kita menjadi bahasa ilmu yang diguna pakai seperti bahasa Inggeris pada suatu hari nanti. Sekian.