Saturday 30 March 2013

Semangat Nasionalisme


Semangat nasionalisme adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara dengan mewujudkan satu konsep identiti untuk sekumpulan manusia. Secara ringkasnya, semangat nasionalisme merupakan semangat kebangsaan yang mencintai negara sendiri dengan sepenuh hati. Antara salah satu cara untuk mewujudkan identiti negara ialah melalui bahasa. Negara mempunyai bahasa rasmi, iaitu Bahasa Melayu yang menjadi salah satu medium penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh hal sedemikian, kita mesti mencintai bahasa kebangsaan dengan sepenuh hati. 

Kita ambil contoh daripada negara Asia Timur seperti Jepun mereka menggunakan bahasa ibunda dalam segala aspek. Orang luar yang ingin berurusan dengan mereka haruslah mempunyai keupayaan untuk menuturkan bahasa mereka ataupun berkomunikasi menggunakan khidmat penterjemah bahasa. Di sini kita dapat melihat, negara Jepun mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan mereka dengan sepenuh hati. Logiknya, sebagai orang luar yang ingin berurusan dengan negara mereka, kita mesti mempelajari bahasa mereka untuk memudahkan urusan kita di negara mereka. Dari segi pembangunan, negara Jepun memang dikenali sebagai negara yang maju dengan kecanggihan teknologi mereka biarpun mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi mereka. Perkara ini haruslah menyuntik kesedaran kepada kita bahawa negara yang maju tidak semestinya harus bergantung kepada Bahasa Inggeris semata-mata untuk melakar kejayaan. Namun begitu, tidak salah untuk kita mempelajari bahasa Inggeris untuk memudahkan kita dalam urusan yang melibatkan bahasa Inggeris. Masalah pengabaian bahasa selalunya disebabkan faktor individu itu sendiri yang lebih suka menuturkan bahasa asing untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpengetahuan dan berstatus. Kesedaran untuk memartabatkan bahasa kita harus wujud dalam setiap sanubari rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu sendiri.

Oleh itu, kita seharusnya mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan. Bahasa merupakan identiti bangsa dan negara kita. Jika kita tidak mengagungkan bahasa sendiri, tidak mustahil suatu hari nanti bahasa Melayu tidak diketahui anak bangsa kita. Bahasa juga merupakan medium penyatuan masyarakat majmuk di negara kita. Melalui bahasa kita boleh berkomunikasi dan memahami budaya pelbagai kaum di Malaysia. Jadi, setiap lapisan golongan masyarakat harus bersatu padu untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Sekian.

No comments:

Post a Comment