Saturday 30 March 2013

Catat atau Catit?

Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri kali ini saya akan membincangkan serba sedikit mengenai perkataan catat atau catit? Persoalan ini bermain di fikiran saya setelah terbaca satu perkataan tentang penggunaan perkataan catit dalam sebuah majalah hiburan. Baiklah, setelah merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:250) mendefinisikan perkataan catat sebagai menulis atau merakamkan sesuatu (dalam buku dan lain-lain) untuk peringatan (perhatian pada masa hadapan). Manakala, perkataan catit adalah sinonim kepada perkataan catat.

       Saya lebih kerap menggunakan perkataan catat kerana perkataan catit jarang diguna dalam penulisan mahupun pertuturan. Selama ini saya menyangka perkataan catit adalah salah dari ejaannya dan tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Semasa menaip tugasan juga, ketika tersalah mengeja perkataan catat kepada catit, perisian e-kamus dalam komputer riba saya akan secara automatik menukarkan perkataan tersebut kepada perkataan catat.

        Ejaan baku yang sebetulnya bagi perkataan ini ialah catat. Pembaca sekalian boleh membaca maklumat dalam laman sesawang Pusat Persuratan Melayu yang mengatakan ejaan perkataan yang sebetulnya bagi kedua-dua perkataan ini adalah catat. Jadi, walaupun kedua-dua perkataan ini terdapat dalam Kamus Dewan, perkataan yang sewajarnya dan dianggap standard dari segi penggunaannya adalah ejaan catat.

        Saya berharap penulisan saya kali ini mampu memberikan sedikit input yang berguna kepada pembaca tentang ejaan dan penggunaan perkataan catat dan catit ini. Sekian.

No comments:

Post a Comment