Wednesday 27 March 2013

Orang Berbudi Kita Berbahasa

Salam sejahtera pembaca yang dihormati sekalian. Kali ini saya akan berkongsi dengan semua berkaitan dengan pengalaman saya semasa menjalani ujian undang-undang kerana saya sedang dalam proses mengambil lesen kereta. Sebelum menjalani ujian tersebut, kami dikehendaki mendaftar dengan membayar sebanyak dua puluh tujuh ringgit untuk kad ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yuran perkhidmatan dan yuran teori. Saya perhatikan pegawai yang bertugas di situ kelihatan agak sombongg dan tidak melemparkan senyuman kepada orang awam yang datang ke pusat ujian undang-undang tersebut. Ketika itu ada dua orang pegawai yang bertugas dan kelakuan kedua-duanya agak kurang mesra pelanggan. Setelah membayar wang tersebut, saya menunggu giliran untuk masuk ke bilik ujian. Sebelum menduduki ujian tersebut, saya diminta mengambil gambar untuk mendaftar dalam perkhidmatan JPJ. Malangnya, saya agak jengkel dengan sikap pegawai tersebut dalam memberi arahan kerana intonasi suaranya yang agak kasar. Situasinya seperti ini:

Pegawai : Boleh letakkan beg awak di tempat yang disediakan dan sila duduk di kerusi itu.
Saya : Kalau saya ada gambar pasport sendiri, perlu ambil gambar juga ke?
Pegawai : Mesti, sebab ini untuk mendaftarkan awak dalam perkhidmatan JPJ.

Pada pandangan pembaca sekalian, adakah penggunaan bahasa yang digunakan oleh pegawai tersebut sesuai? Pada pandangan saya, pegawai ini gagal menjalankan tugas dengan baik kerana beliau bukan sahaja tidak menggunakan bahasa baku bahkan menggunakan kata panggilan yang tidak sesuai kepada pelanggan. Kata panggilan yang sepatutnya ialah 'cik' atau 'saudari' untuk mewujudkan komunikasi yang berkualiti dan formal. Seeloknya, beliau menjelaskan dengan baik sekiranya pelanggan mengajukan soalan. Sebagai pegawai perkhidmatan awam, seharusnya beliau menggunakan bahasa baku atau bahasa standard dalam menjalankan tugas dan perlu sentiasa memberikan senyuman untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan.

       Selepas saya habis menjawab ujian tersebut, saya pergi ke meja pegawai untuk mendapatkan arahan yang seterusnya. Sekali lagi saya terkejut dengan sikap pegawai tersebut kerana beliau melayan pelanggan sambil menikmati makanan tengah hari. Beliau hanya menggunakan bahasa isyarat semasa menyuruh saya meletakkan ibu jari pada satu mesin untuk melakukan imbasan identiti kerana beliau sedang mengunyah makanan. Pada pandangan saya, perkara ini sangat serius kerana beliau melanggar etika dalam menjalankan tugas. Bayangkan, jika terdapat orang asing yang ingin mendapatkan lesen antarabangsa mendaftar di pusat tersebut dan melihat perlakuan pegawai itu. Hal ini akan memalukan kerana tidak mustahil orang asing tersebut akan memandang serong terhadap perkhidmatan di Malaysia. Tambahan pula, semasa bertugas beliau hanya memakai baju sejuk dan berseluar jean serta menggunakan selipar sahaja.
 
     Seharusnya, sebagai pegawai perkhidmatan awam, beliau harus menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat. Bukan sahaja dari segi etika bekerja, bahkan dari segi layanan kepada pelanggan mestilah sempurna. Selain itu, beliau mestilah menggunakan pakaian formal ketika menjalankan tugas kerana pakaian yang beliau gunakan tidak sesuai dipakai ketika menjalankan tugas secara formal. Jadi, iktibar yang saya dapat daripada pengalaman ini adalah kita harus menjaga budi bicara dan sentiasa menghulurkan senyuman kepada orang lain tidak kira di mana saya berada kerana amalan berbudi bahasa merupakan budaya masyarakat Malaysia. Kita juga harus bijak memilih laras bahasa yang sesuai dengan orang lain dalam pelbagai situasi baik situasi formal atau sebaliknya kerana indah budi kerana bahasa.  Sebelum berlalu keluar dari pusat ujian tersebut, saya sempat mengucapkan terima kasih kepada pegawai itu namun sepi tanpa sebarang sahutan. Para pembaca sekalian, baik buruk diri kita adalah melalui sikap yang kita tonjolkan dan sentiasalah berbuat baik dengan semua orang kerana amalan ini tidak akan pernah merugikan diri kita. 

Akhir kata, pembaca sekalian, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan agar kita sentiasa dipandang sebagai masyarakat yang mempunyai budaya yang kaya dengan budi bahasa.Sekian.

No comments:

Post a Comment