Friday 8 March 2013

Indah Budi kerana Bahasa...

Entri kali ini saya akan berkongsi pengalaman saya ketika mengikuti program sukarelawan ke Pantai Remis, Perak untuk melakukan baktisiswa kepada mangsa banjir. Kami bertolak dari UPSI sekitar jam 8.30pagi dan perjalanan ke kawasan kampung yang dilanda banjir tersebut adalah selama 3jam dari Tanjung Malim. Ketibaan kami disambut dengan baik oleh penduduk kampung dan mereka menyambut huluran tangan kami untuk bersalam dengan mulut tidak berhenti-henti menyapa dengan keramahan walaupun belum sampai sepuluh minit berada di situ. Ketika pertama kali saya mendengar bahasa daerah atau loghat yang mereka gunakan saya merasakan diri seolah-olah berada di negeri Kedah kerana masyarakat di situ menggunakan loghat utara. Ketika itu baru saya teringat bahawa loghat utara juga dituturkan oleh masyarakat di utara Perak. Kami mengadakan kerja amal bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM) untuk menjayakan aktiviti membantu membersihkan rumah-rumah penduduk kampung yang dilanda banjir.  

          Pengalaman yang menyeronokkan bagi saya apabila dapat membantu penduduk kampung dan berasa sedih juga melihat keadaan rumah mereka akibat banjir. Jika tidak dibersihkan dengan betul, mudah sahaja penyakit atau wabak menyerang. Barang-barang atau peralatan di dalam rumah basah dan keadaan luar rumah yang becak kerana banjir. Terdetik di hati saya, betapa kasihannya penduduk kampung ini kerana mereka menyatakan mereka sudah lali dengan kejadian banjir dan banyak peralatan rumah yang sudah dibuang akibat rosak teruk. Perkara ini sangat menyusahkan penduduk kampung dan sepatutnya mereka diberikan perhatian oleh orang-orang yang berkuasa untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.
          Ketika berkomunikasi dengan penduduk kampung, saya tidak mengalami masalah dari segi memahami loghat mereka kerana saya mempunyai ramai kawan yang menggunakan loghat utara dan mampu memahami bahasa yang mereka gunakan. Patutlah orang mengatakan bahawa menjadi seorang mahasiswa/i ini sangat banyak pengalaman yang mampu kita kaut dan setiapnya perlukan kemahuan, termasuklah dari segi bahasa. Tidak salah untuk kita belajar bahasa orang lain kerana mungkin suatu hari nanti kita mungkin akan bergaul dengan masyarakat tersebut lebih-lebih lagi dengan kerjaya sebagai pendidik, besar kemungkinan penempatan mengajar di tempat-tempat orang dan apabila kita sudah memahami bahasa mereka itu akan memudahkan urusan kita selain mampu bergaul mesra dengan masyarakat tersebut. Kesian saya mendengar luahan sebuah keluarga ini yang menyatakan mereka sekeluarga baru sahaja balik dari hospital Manjung kerana mengalami demam panas. Mereka mengatakan tidak berada di rumah ketika banjir berlaku dan bersedia dengan meletakkan barang-barang penting di atas katil terlebih dahulu kerana dimasukkan ke wad. Saya melihat keadaan mereka sekeluarga belum pulih sepenuhnya kerana kelihatan agak lemah dan duduk meyaksikan kami melakukan kerja-kerja pembersihan setakat yang kami mampu.
        Sekitar 4.10ptg kami selesai membersihkan rumah mereka dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka serta berharap mereka cepat sembuh seperti sediakala. Sebak apabila mendengar mereka mengatakan hanya mampu mengucapkan terima kasih atas bantuan yang kami berikan. Sebelum bertolak pulang ke UPSI, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI menghulurkan sedikit sumbangan kepada penduduk kampung. Pengalaman ini sangat menyeronokkan bagi saya dan mengharapkan penduduk kampung tersebut menemui jalan untuk mengelakkan kejadian banjir tersebut berulang lagi.

Thursday 7 March 2013

1Bahasa , 1Malaysia....

Entri kali ini saya akan berkongsi dengan warga blog sekalian tentang ragam bahasa yang digunakan oleh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kenapa saya memilih tajuk entri saya begini? Semuanya bermula dengan pengalaman saya pada hari Sabtu tanggal 9 Mac 2013 di mana saya menghadiri kursus kurikulum pemandu di salah sebuah institut memandu di Tanjung Malim. Institut memandu tersebut kemungkinan pemiliknya adalah orang India kerana kebanyakkan pekerjanya adalah kaum India termasuk penceramah yang mengendalikan kursus pada hari tersebut.
           Dalam kursus tersebut, saya menyangkakan bahawa saya mungkin tidak akan memahami bahasa Melayu yang akan digunakan oleh penceramah India tersebut kerana kebanyakkan orang India yang saya kenali sangat pelat berbahasa Melayu. Bermulalah berlegar di fikiran saya, bagaimana saya hendak memahami kursus ini jika saya tidak memahami bahasa penceramah tersebut. Tambahan, pemilik institut memandu tersebut orang India, lagilah dia tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
          Ketika penceramah tersebut memulakan bicara, saya sudah menunggu dengan persepsi negatif bahawa mesti bahasa yang digunakannya sangat pelat. Jangkaan saya meleset sama sekali apabila penceramah tersebut lancar menuturkan bahasa Melayu dan tidak saya nafikan beliau sedikit pelat juga tetapi tidaklah seteruk yang saya jangkakan. Sepanjang kursus berlangsung, saya mampu memahami kursus dengan baik kerana penceramah India tersebut memberikan penerangan dengan penggunaan bahasa Melayu yang memuaskan.
           Pengajaran yang saya dapati pada hari tersebut adalah jangan menilai seseorang sebelum anda mengenalinya bak kata pepatah “tak kenal,maka tak cinta” dan saya berbangga menyatakan bahawa masyarakat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu juga pandai berbahasa Melayu dengan baik. Bahasa merupakan wadah penyatuan rakyat Malaysia yang sangat penting kerana kita terdiri daripada masyarakat majmuk dan penting untuk kita memahami budaya masing-masing melalui interaksi sosial yang dijalinkan dengan aktiviti berkomunikasi. Akhir kata, saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan berharap semoga negara kita sentiasa di bawah lembayung rahmat Tuhan agar generasi akan datang mampu mengecapi perpaduan yang ada pada hari ini malah dengan harapan negara akan menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Salam 1Malaysia semua.

Wednesday 6 March 2013

Penggunaan Bahasa Biarlah Betul...

Seringkali kita mendengar atau membaca ungkapan ini ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ tetapi sejauh manakah pengertian kita terhadap perkara ini? Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu pula, sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu menjadi puncak sebagai bahasa tamadun Melayu. Ini menunjukkan bukti bahawa pada zaman tersebut, penggunaan bahasa Melayu sangat meluas dan memang dimartabatkan. Jika tidak, masakan kerajaan Melaka pada waktu itu mampu mencipta sejarah sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang maju meskipun menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan mereka.
           Lain pula pada zaman sekarang, bahasa Melayu memang menjadi bahasa rasmi negara tetapi sejauh mana penggunaan bahasa Melayu digunakan dalam hal-hal perniagaan? Saya yakin, syarikat-syarikat korporat yang gah berdiri pada hari ini lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan syarikat berbanding bahasa Melayu. Kita lihat skop yang lebih kecil pula, dalam media massa kita pada hari ini, adakah bahasa Melayu itu digunakan dengan sebaik-baiknya? Sedih saya nyatakan, apabila akhbar-akhbar tempatan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah penyampaian berita tidak menekankan sistem penggunaan bahasa Melayu dengan sebetulnya. Kita lihat sajalah contoh iklan ini sungguh menyedihkan bila penggunaan bahasa Melayu seakan-akan tidak mempunyai sistem tatabahasa yang tersendiri.
Sepatutnya iklan tersebut menitikberatkan sistem tatabahasa yang betul agar masyarakat yang membaca boleh menggunakan contoh penggunaan ayat yang betul dalam kehidupan mereka. Kita sendiri sedia maklum masyarakat Malaysia adalah terdiri daripada masyarakat majmuk dan amat penting untuk kita menyemai pengetahuan penggunaan bahasa Melayu yang betul agar negara kita beridentiti kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara. Jika seperti iklan ini, mungkin golongan yang menyedari kesalahan tatabahasa yang digunakan adalah golongan akademik ataupun kaum Melayu sahaja, bagaimana pula halnya dengan kaum India, kaum Cina dan kaum-kaum lain yang mungkin kurang ilmunya dalam berbahasa Melayu.
Jadi, pada saya eloklah kiranya, orang yang berkuasa dan memegang jawatan dalam hal-hal yang melibatkan pendedahan kepada orang ramai seperti media massa memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa menunjukkan bangsa, jika kita tidak menjaga keaslian bahasa kita, lama-kelamaan bahasa Melayu boleh pupus ditelan kemodenan. Lebih-lebih lagi, zaman sekarang banyak menggunakan teknologi yang kebanyakkan arahan dalam penciptaan teknologi tersebut dalam bahasa Inggeris. Tepuk dada, tanya hati.
Batu delima bersalut suasa,
Cantik warna memikat hati,
Bahasa itu intipati bangsa,
Perlu dicakna, dijiwa, dihayati.
(sumber : http://ctnurza.blogspot.com/2013/02/pertandingan-pantun-bahasa-jiwa-bangsa.html)

Tuesday 5 March 2013

Bahasa yang Baik Nadi Bangsa Berbudi...


Salam sejahtera pembuka bicara kepada warga blog sekalian. Semoga semuanya dalam keadaan sihat-sihat belaka. Pada entri kali ini saya akan berkongsi satu cerita yang saya rasa sesuai untuk menggambarkan penggunaan bahasa dalam masyarakat kita. Perkara ini berlaku ketika saya dan rakan-rakan berkunjung ke Karnival yang dianjurkan oleh jawatankuasa kolej kediaman pelajar Upsi. Ketika itu, banyak gerai-gerai didirikan dan satu kemestian gerai-gerai menjual menjual makanan yang paling banyak dikunjungi kerana para pelajar ketika itu kebanyakan baru habis kuliah sesi petang. Begitu jugalah kisahnya kami sekawan, berkunjung ke karnival tersebut untuk mencari makanan sebagai santapan makan malam nanti.
          Saya mengajak rakan ke salah sebuah gerai makanan untuk melihat-lihat makanan yang mungkin berkenan di hati. Hendak dipendekkan cerita, pengerai yang menjual makanan tersebut menyambut kehadiran kami dengan senyuman dan menanyakan makanan apa yang kami inginkan membahasakan diri dengan panggilan ‘kakak’. Saya suka dengan cara pengerai ini melayan pelanggan kerana cukup peramah dan bahasa yang digunakan cukup baik. Saya dan rakan sempat berbual ringkas dengan pengerai tersebut dan kadangkala diselang-selikan dengan perkara yang mencuit hati membuatkan masing-masing ketawa termasuk pelanggan lain yang masih menunggu giliran mereka membeli makanan di situ. Setelah selesai membayar makanan yang saya beli, rakan saya mengajak untuk ke salah satu lagi gerai lain untuk membeli makanan lain.
          Kali ini situasi yang kami alami sangat berbeza dengan situasi di kedai ‘kakak’ yang pertama tadi. Pengerai kali ini melayan kami acuh tak acuh dan ketika kami bertanya harga makanan tersebut, dia hanya menjawab ‘nak berapa!’ membuatkan hati kami jengkel dengan perangai pengerai tersebut. Apalah salah kiranya dia melayan dan menjawab soalan yang kami ajukan dengan ramah seperti ‘kakak’ yang pertama tadi. Jika layanan yang diberikan baik, orang hendak membeli pun suka. Bukankah sudah ditayangkan di televisyen dan dipasang di corong-corong radio bahawa ‘budi bahasa, budaya kita’. Apalah tanggapan orang luar tentang budi bahasa kita jika yang hendak membeli nanti pelajar antarabangsa yang memang belajar di UPSI. Pengerai ini hendak ditanya pun endah tak endah dan langsung tidak menguntum senyum. Sungguh mengecewakan walhal peniaga seharusnya mempunyai keramahan yang menjadi senjata kepada pintu rezeki mereka.
          Dengan itu, wahai pembaca blog sekalian, biarpun di mana kita berada, siapa pun diri kita, hendaklah kita sentiasa berbudi bahasa dan menguntum senyuman selalu kerana berlaku baik itu menunjukkan kebaikan hati kita. Semoga pembaca sekalian mendapat iktibar dari entri saya kali ini. Salam 1Malaysia semua.

Monday 4 March 2013

Budaya kurang membaca...


Salam sejahtera warga blog sekalian. Semoga sentiasa sihat hendaknya. Coretan saya kali ini mengenai budaya kurang membaca masyarakat kita. Kenapa saya memilih tajuk ini dan apa kaitannya dengan isu bahasa dalam masyarakat kita? Marilah kita sama-sama renungkan bersama. Idea ini timbul ketika saya berada di dalam bilik kuliah pagi tadi dan pada ketika itu pensyarah saya Dr. Dahlia Janan sedang memberikan tutorial berkaitan kursus Keterampilan Membaca. Ya, memang tidak dinafikan lagi, masyarakat kita sangat kurang budaya membaca lantaran kehidupan moden yang semakin sibuk dengan hal-hal lain yang dikatakan lebih penting dan menguntungkan untuk dilakukan. Tedetik di hati saya, semakin kurang kita membaca, semakin kurang berkembanglah ilmu yang kita ada. Begitu juga bahasa, semakin kita belajar untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kita, semakin elok dan bergunalah setiap tutur bicara kita. Jika tidak masakan lahir istilah 'lidah pendeta'. Orang yang digelar pendeta adalah orang yang memiliki pengetahuan dan setiap katanya adalah ilmu. Oleh itu pembaca sekalian, salah satu medium meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu adalah melalui aktiviti membaca. Orang yang banyak membaca akan secara sendirinya mempunyai penguasaan bahasa yang bagus dan mempunyai pengetahuan yang banyak.
          Malangnya, budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. Cuba kita renungkan, seorang pelajar yang membaca buku mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik berbanding pelajar yang tidak membaca buku. Apa rasionalnya saya memberikan situasi seperti ini? Mudah sahaja, seseorang yang rajin membaca akan berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan seseorang yang rajin membaca secara praktiknya, akan sentiasa mengucapkan sesuatu yang bagus kerana sudah terbiasa dengan struktur bahasa yang baik dan berilmiah. Begitu jugalah dengan bahasa Melayu kita, pupuklah minat membaca menggunakan bahan bacaan dalam Bahasa Melayu untuk kita meningkatkan penguasaan bahasa kita sekaligus menyemai semangat cintakan bahasa ibunda. Khazanah bahasa seperti pantun, seloka, gurindam, syair, sajak dan sebagainya mampu kita pertahankan jika masyarakat kita suka membaca kerana semuanya akan diketahui dan dipelajari melalui aktiviti membaca tersebut. Bahasa Melayu sangat indah dan suka saya nyatakan masyarakat Melayu dahulu sangat bijak menyalurkan nasihat dan pedoman melalui penggunaan bahasa seharian mereka. Contohnya dalam petikan pantun di bawah;

Apabila perut sudah kenyang,
Syukuri nikmat diberikan Tuhan,
Apabila takut difitnah orang,
Amal ibadat jangan dilupakan.
(sumber:http://www.pantun.co/search/label/pantun%20nasihat)

           Tengoklah, masyarakat dahulu sangat bijak menyusun kata dengan menghasilkan pantun-pantun yang indah dan berunsur nasihat seperti contoh di atas. Bahasanya yang sedap didengar, tidak menyinggung perasan dan mempunyai nasihat yang sangat dalam (saya yakin pembaca mampu tafsirkan). Kenapa kita masyarakat hari ini tidak mampu untuk mengikut langkah orang-orang dahulu dalam mengungkapkan bicara agar kuranglah yang tersinggung dan kurang jugalah yang bersengketa. Bak kata pepatah "kerana mulut badan binasa" mengingatkan kita agar menjaga setiap tutur bicara. Jadi, akhir coretan ini, ayuhlah kita bersama-sama menyemai sikap suka membaca dalam diri dan merungkai serta mengikut setiap baiknya khazanah Bahasa Melayu kita agar kita akan sentiasa dikenali sebagai bangsa yang mempunyai identiti yang tinggi.Bahasa menunjukkan bangsa.

Sunday 3 March 2013

Hidup ini satu proses belajar....

Bunga cempaka bunga mewangi,
Disunting dara nampak berseri,
Ramahnya mesra sopan berbudi,
Salam dihulur terpaut budi.

Salam perkenalan semua warga blog yang dihormati sekalian. Mukadimah blog saya dengan sebuah pantun yang saya petik dan dirasakan sesuai untuk menghulurkan salam perkenalan kepada semua. Dalam coretan pertama ini, saya ingin melahirkan rasa gembira kerana mendapat pengalaman baru tentang cara membuat blog kerana sebelumnya saya adalah seorang yang tidak mengambil tahu tentang cara-cara membuat blog. Dek kerana tuntutan kursus major (Sosiolinguistik) saya semester ini yang meminta semua pelajar membuat blog bagi berkongsi pendapat, pandangan, luahan atau apa-apa perkongsian positif tentang penggunaan bahasa dalam masyarakat, maka terlahirlah blog saya yang saya berikan tajuk 'Himpunan Bahasa Melayu ku'. Semoga coretan dalam blog saya ini mampu memberikan input positif kepada semua yang membaca. Saya mengharapkan tunjuk ajar atau nasihat sekiranya berlaku khilaf dalam pencoretan maya ini bak kata pepatah yang bengkok diluruskan, nan tak elok biarlah diperbetulkan. Dengan kesempatan ini juga, ribuan terima kasih kepada kawan-kawan saya yang banyak membantu sehingga saya mampu memiliki blog sendiri. Biarpun tidak begitu menarik tetapi saya tetap berbangga dan akan berusaha untuk memperbaiki blog saya dari semasa ke semasa.