Friday 5 April 2013

Perbezaan antara hipernim dan homonim

Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri saya kali ini berkenaan kelompok kata hipernim dan hiponim. Mari kita berkenalan dahulu dengan definisi kedua-dua istilah hipernim dan hiponim ini. Baiklah, hipernim sebenarnya merupakan satu kata yang lebih besar, iaitu kata umum yang disebut sebagai superordinat. Manakala, hiponim pula adalah kata khusus yang disebut sebagai subordinat yang terangkum maknanya dalam superordinat. Selain itu, takrifan lain tentang hipernim ialah sebagai perkataan yang mewakili banyak kata lain. Umumnya, kata-kata hipernim adalah suatu kategori dan hiponim merupakan anggota dari kata hipernim. Contohnya;  
  • Hipernim  :  Hantu
  • Hiponim   :  Pocong, Toyol, Kuntilanak, Penanggal, Hantu Bungkus, dan sebagainya.

  • Hipernim  :  Ikan
  • Hiponim   :  Lumba-lumba, Yu, Tenggiri, Sepat, Haruan, Keli, Kaloi, Semah dan sebagainya.

  • Hipernim  :  Bunga
  • Hiponim   :  Melati, Melur, Kenanga, Bunga Raya, Kekwa, Ros, Dahlia, Mawar dan sebagainya.

Jadi, boleh dijelaskan di sini bahawa hipernim dan hiponim sebenarnya amat berkait dari aspek pengelompokan kata. Seperti yang telah dijelaskan, hipernim merupakan kelompok kata yang lebih umum dan luas. Hiponim pula merupakan anggota dalam kelompok kata hipernim tadi. Jadi, kita seharusnya memahami konsep kedua-dua kelompok kata ini bagi memastikan kita tidak tersalah konsep dan menukar makna antara dua istilah ini. Kata kunci yang mudah untuk kita mengingati kedua-dua istilah ini  melalui superordinat (hipernim) dan subordinat (hiponim). Sekian.

*Sumber : Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu (2009 : 103)

Thursday 4 April 2013

Dialek Kita..



Salam sejahtera pembaca sekalian. Semoga kalian sihat hendaknya. Kali ini saya akan membicarakan  tentang bahasa daerah. Bahasa daerah merupakan bahasa setempat yang dituturkan di sekitar suatu kawasan tertentu. Bahasa daerah juga boeh dikenali sebagai loghat atau dialek yang mempunyai kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Bahasa daerah mempunyai kepelatan bunyi sebutan dan lenggok atau gaya menuturkan.

    Bahasa daerah berbeza mengikut negeri dan timbul disebabkan faktor terpisah tempat, terpisah zaman, berlainan pengalaman dan berlainan pengaruh luar. Faktor terpisah tempat disebabkan oleh keadaan muka bumi seperti banjaran gunung, sungai besar, terpencil di pulau dan sebagainya yang mengakibatkan perbezaan ciri dialek. Contoh dialek tersebut ialah dialek Kedah dan dialek Kelantan yang terpisah oleh banjaran Gunung Titiwangsa.

    Faktor terpisah zaman pula menyebabkan ciri dan sifat bahasa dialek berbeza. Semakin banyak terpisah semakin banyak berbeza. Contohnya, bahasa Melayu Pulau Cocos sejak tahun 1826, Pulau Christmas pada awal abad ke-20 dan Tanah Besar Australia pada tahun 1960. Faktor berlainan pengalaman pula menghasilkan dialek yang berlainan atau sekurang-kurangnya kata yang berbeza. Contohnya, ‘musim tengkujuh’ hanya digunakan di pantai timur sahaja. Berlainan pengaruh ialah bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia berbeza dengan bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia walaupun asalnya bahasa Melayu dari induk yang sama, iaitu bahasa Melayu Johor-Riau. Namun begitu, kerajaan Johor dan Riau terpisah melalui taklukan penjajah, iaitu Johor dipengaruhi oleh Inggeris manakala Riau dipengaruhi oleh Belanda dan bercampur dengan bahasa daerah yang lain. Jadi, bahasa Melayu mengalami perbezaan mengikut daerah dan kawasan tertentu.

   Kesimpulannya, bahasa daerah yang berbeza-beza sebenarnya merupakan variasi bahasa Melayu yang mengikut negeri dan kawasan yang berlainan. Kepelbagaian bahasa daerah sebenarnya menunjukkan kekayaan bahasa sesebuah bangsa lebih-lebih di Malaysia terdapat pelbagai dialek seperti di negeri  Sabah, Sarawak dan kawasan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita harus mengekalkan bahasa daerah ini untuk menjadi lambang sesebuah masyarakat di negara kita. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa kita tidak dibenarkan menggunakan bahasa dialek ketika bercakap atau menulis dalam situasi formal kerana negara kita menggunakan bahasa Melayu standard sebagai bahasa pengantar ilmu. Jadi, selain fasih berbahasa daerah, kita juga perlu fasih berbahasa Melayu baku.

Wednesday 3 April 2013

Pertembungan Bahasa


     Salam sejahtera semua pembaca yang dihormati sekalian. Entri saya hari ini akan membincangkan tentang kesan pertembungan bahasa terhadap bahasa Melayu. Pertembungan bahasa ini boleh terjadi daripada pelbagai faktor misalnya migrasi, nasionalisme, imperialisme, dan sebagainya. Pertembungan bahasa berlaku dalam bahasa Melayu kerana keperluan menghadapi dunia moden pada zaman sekarang. Bahasa Melayu bersifat dinamik dan mampu menerima pengaruh asing untuk menyampaikan sesuatu perkara atau ilmu. Contohnya, dalam bidang sains dan teknologi, penyerapan unsur bahasa asing telah digunakan dengan menterjemah istilah-istilah bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu sains dan teknologi tersebut.

    Baiklah, saya ingin membuka persoalan kepada para pembaca sekalian, perkara apa yang bakal terjadi sekiranya kita sebagai penutur natif bahasa Melayu terikut-ikut dengan bahasa asing dalam kehidupan seharian? Saya ambil contoh mudah, zaman sekarang, kita banyak menggunakan khidmat pembantu rumah dari Indonesia untuk membantu menguruskan kerja rumah dan mengasuh anak-anak. Dalam tugas mengasuh anak-anak, semestinya pembantu rumah tersebut akan menggunakan bahasa Indonesia untuk berkomunikasi dengan anak-anak kita. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana anak-anak kecil khususnya, mudah terpengaruh dengan percakapan orang dewasa dan kekerapan bergaul dengan orang dewasa tersebut akan mempengaruhi pengalaman literasi kanak-kanak tersebut. Bayangkan, jika anak-anak kita terpengaruh dengan bahasa Indonesia yang dituturkan oleh ‘bibik’ di rumah sehingga terbawa-bawa dalam penulisan di sekolah mahupun pertuturan? Sudah pasti, bahasa Melayu kita akan dicampur adukkan dengan bahasa Indonesia  kerana kanak-kanak tersebut mempunyai pengalaman literasi yang sedemikian. Hal ini merencatkan pemerolehan bahasa baku dalam kalangan mereka. Perkara ini menyukarkan guru-guru di sekolah untuk menyampaikan maklumat dalam pembelajaran kerana kemungkinan pemerolehan bahasa kanak-kanak tersebut mungkin berbeza dengan pemerolehan bahasa kanak-kanak yang bertutur menggunakan bahasa baku di rumah. Seharusnya, perkara ini dipandang berat oleh para ibu bapa untuk menyemai semangat cintakan bahasa kebangsaan dalam sanubari anak-anak untuk memastikan mereka fasih berbahasa Melayu.

    Pertembungan bahasa mempunyai dua kesan, iaitu kesan positif dan kesan negatif. Kesan positif dapat dilihat melalui perkembangan bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui pembangunan dunia teknologi di negara kita yang menyebabkan berlakunya pertambahan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Kesan negatif pula dapat dilihat melalui keaslian bahasa Melayu. Pengaruh bahasa asing tidak dinafikan sedikit sebanyak menyebabkan bahasa Melayu baku kita dicampur aduk sehingga berlakunya percemaran bahasa atau bahasa rojak. Bahasa rojak boleh menjatuhkan martabat bahasa kita kerana bahasa kita akan terhakis identitinya secara perlahan-lahan.

   Akhir kata, sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita harus mempunyai semangat cintakan kebangsaan yang menebal dalam diri. Jika kita prihatin dan mencintai bahasa kita nesaya kita tidak akan membiarkan bahasa kita dipengaruhi oleh bahasa-bahasa lain yang mampu menghapuskan keaslian bahasa kita suatu hari nanti. Perlu dijelaskan, salah satu medium penjajahan adalah melalui bahasa dan jangan biarkan kita dijajah dengan bahasa asing sehingga melupakan asal-usul bahasa kita sendiri. Sekian.

Tuesday 2 April 2013

Bahasa Slanga


Salam 1Malaysia para pembaca sekalian. Baiklah, entri saya kali ini berkaitan dengan penggunaan bahasa slanga. Bahasa slanga menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1511) mendefinisikan bahasa slanga sebagai kata-kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa baku serta biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Bahasa slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya secepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan muda seperti pelajar universiti atau golongan professional untuk komunikasi dalaman bagi menghindarkan daripada diketahui oleh komuniti bahasa yang lain. Dalam bahasa slanga, kata-kata baharu muncul dan kemudian hilang dengan cepat. Kata-kata bahasa slanga diambil daripada dialek atau bahasa kaum lain termasuk bahasa penjajah, kemudian diberi pengertian atau konotasi tertentu. Contoh bahasa slanga yang kerap digunakan dalam kalangan remaja seperti  cun, melepak, mat rempit, buat derk dan banyak lagi.  

     Bahasa slanga jika kerap digunakan dalam pertuturan dapat mempengaruhi kosa kata yang digunakan oleh seseorang tersebut dalam penulisan formal dan komunikasi formal. Bahasa slanga yang melanda para remaja kita seharusnya dibendung untuk mengelakkan mereka melakukan kesalahan bahasa tidak kira dalam penulisan ataupun dalam komunikasi formal. Kita ambil contoh mudah, penggunaan bahasa slanga dalam sistem pesanan ringkas  yang digunakan oleh golongan muda kadangkala membuatkan kita tidak memahami dan mengerti maksud sebenar yang ingin disampaikan.

     Bahasa slanga yang kerap digunakan dalam pertuturan menyebabkan golongan muda khususnya pelajar, tidak mampu untuk menghasilkan karangan atau penulisan yang baik. Selain itu juga, kegagalan untuk berkomunikasi dalam situasi formal adalah disebabkan pengaruh bahasa slanga yang sudah menjadi kebiasaan para pelajar.

    Oleh hal yang sedemikian, sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan bahasa kebangsaan, kita hendaklah mengelakkan daripada menggunakan bahasa slanga kerana penggunaan bahasa slanga yang terlalu kerap dalam kehidupan seharian akan menyebabkan kita terbiasa dan mencampur adukkan bahasa slanga dengan bahasa Melayu baku. Tidak salah untuk kita bertutur dalam bahasa baku kerana ia mampu melatih kita untuk berkomunikasi secara formal dan membantu kita membina ayat yang betul dalam penulisan ilmiah, amnya. Gunakanlah bahasa kebangsaan kita sebaik-baiknya kerana melalui bahasalah terpancar salah satu identiti kita sebagai masyarakat Malaysia.

Monday 1 April 2013

Perbezaan kata pemeri ialah dan adalah..

Apa khabar para pembaca yang dihormati sekalian. Semoga semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Baiklah, entri saya pada kali ini mengajak para pembaca untuk melihat perbezaan kata pemeri ialah dan adalah. Sering kali kita keliru menggunakan dua perkataan ini dalam membina ayat dalam penulisan mahupun pertuturan.

     Kata pemeri membawa maksud kata yang bertugas memeri hal atau merangkaikan frasa utama dalam frasa predikat atau frasa subjek  dan sebagai pemisah antara subjek dan predikat ayat. Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama  dalam predikat.
Kata pemeri ialah hendaklah  hendaklah digunakan di hadapan frasa nama. Contohnya penggunaan kata pemeri ialah seperti di bawah;
  1. Putrajaya ialah pusat pentadbiran Malaysia.
     Dalam ayat tersebut, frasa ‘Putrajaya’ ialah subjek ayat manakala ‘pusat pentadbiran Malaysia’ ialah predikat ayat. Pembaca dapat melihat dengan jelas bahawa kata pemeri ialah menjadi pemisah kepada frasa subjek dan predikat dalam ayat tersebut.
Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama , seperti yang terdapat dalam ayat di bawah :
  1. Antara bangunan utama di Putrajaya adalah kediaman rasmi Perdana Menteri. [FN + FSN]
  2. Penubuhan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru negara ini adalah amat dialu-alukan. [FN+FA]
Kata pemeri adalah digunakan dalam dua keadaan, iaitu dalam ayat yang berstruktur FN + FA dan FN+FSN. Perlu dijelaskan sekiranya ayat disongsangkan, penggunaan kata pemeri adalah tidak berubah walaupun struktur zahir ayat telah berubah. Sebagai contoh :
  1. Antara bangunan utama di Putrajaya adalah kediaman rasmi Perdana Menteri.
    Kesimpulannya, penggunaan kata pemeri ialah adalah gramatis dalam ayat berstruktur FN + FN manakala penggunaan kata pemeri adalah gramatis dalam ayat berstruktur FN +FA dan FN + FSN. Perlu diingatkan, kedua-dua kata pemeri ini tidak boleh digunakan dalam ayat yang berstruktur FN + FK. Diharapkan para pembaca mendapat input melalui entri saya pada hari ini. Sekian.

Saturday 30 March 2013

Semangat Nasionalisme


Semangat nasionalisme adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara dengan mewujudkan satu konsep identiti untuk sekumpulan manusia. Secara ringkasnya, semangat nasionalisme merupakan semangat kebangsaan yang mencintai negara sendiri dengan sepenuh hati. Antara salah satu cara untuk mewujudkan identiti negara ialah melalui bahasa. Negara mempunyai bahasa rasmi, iaitu Bahasa Melayu yang menjadi salah satu medium penyatuan masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh hal sedemikian, kita mesti mencintai bahasa kebangsaan dengan sepenuh hati. 

Kita ambil contoh daripada negara Asia Timur seperti Jepun mereka menggunakan bahasa ibunda dalam segala aspek. Orang luar yang ingin berurusan dengan mereka haruslah mempunyai keupayaan untuk menuturkan bahasa mereka ataupun berkomunikasi menggunakan khidmat penterjemah bahasa. Di sini kita dapat melihat, negara Jepun mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan mereka dengan sepenuh hati. Logiknya, sebagai orang luar yang ingin berurusan dengan negara mereka, kita mesti mempelajari bahasa mereka untuk memudahkan urusan kita di negara mereka. Dari segi pembangunan, negara Jepun memang dikenali sebagai negara yang maju dengan kecanggihan teknologi mereka biarpun mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi mereka. Perkara ini haruslah menyuntik kesedaran kepada kita bahawa negara yang maju tidak semestinya harus bergantung kepada Bahasa Inggeris semata-mata untuk melakar kejayaan. Namun begitu, tidak salah untuk kita mempelajari bahasa Inggeris untuk memudahkan kita dalam urusan yang melibatkan bahasa Inggeris. Masalah pengabaian bahasa selalunya disebabkan faktor individu itu sendiri yang lebih suka menuturkan bahasa asing untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpengetahuan dan berstatus. Kesedaran untuk memartabatkan bahasa kita harus wujud dalam setiap sanubari rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu sendiri.

Oleh itu, kita seharusnya mempunyai semangat cintakan bahasa kebangsaan. Bahasa merupakan identiti bangsa dan negara kita. Jika kita tidak mengagungkan bahasa sendiri, tidak mustahil suatu hari nanti bahasa Melayu tidak diketahui anak bangsa kita. Bahasa juga merupakan medium penyatuan masyarakat majmuk di negara kita. Melalui bahasa kita boleh berkomunikasi dan memahami budaya pelbagai kaum di Malaysia. Jadi, setiap lapisan golongan masyarakat harus bersatu padu untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Sekian.

Catat atau Catit?

Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri kali ini saya akan membincangkan serba sedikit mengenai perkataan catat atau catit? Persoalan ini bermain di fikiran saya setelah terbaca satu perkataan tentang penggunaan perkataan catit dalam sebuah majalah hiburan. Baiklah, setelah merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:250) mendefinisikan perkataan catat sebagai menulis atau merakamkan sesuatu (dalam buku dan lain-lain) untuk peringatan (perhatian pada masa hadapan). Manakala, perkataan catit adalah sinonim kepada perkataan catat.

       Saya lebih kerap menggunakan perkataan catat kerana perkataan catit jarang diguna dalam penulisan mahupun pertuturan. Selama ini saya menyangka perkataan catit adalah salah dari ejaannya dan tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Semasa menaip tugasan juga, ketika tersalah mengeja perkataan catat kepada catit, perisian e-kamus dalam komputer riba saya akan secara automatik menukarkan perkataan tersebut kepada perkataan catat.

        Ejaan baku yang sebetulnya bagi perkataan ini ialah catat. Pembaca sekalian boleh membaca maklumat dalam laman sesawang Pusat Persuratan Melayu yang mengatakan ejaan perkataan yang sebetulnya bagi kedua-dua perkataan ini adalah catat. Jadi, walaupun kedua-dua perkataan ini terdapat dalam Kamus Dewan, perkataan yang sewajarnya dan dianggap standard dari segi penggunaannya adalah ejaan catat.

        Saya berharap penulisan saya kali ini mampu memberikan sedikit input yang berguna kepada pembaca tentang ejaan dan penggunaan perkataan catat dan catit ini. Sekian.