Thursday 4 April 2013

Dialek Kita..



Salam sejahtera pembaca sekalian. Semoga kalian sihat hendaknya. Kali ini saya akan membicarakan  tentang bahasa daerah. Bahasa daerah merupakan bahasa setempat yang dituturkan di sekitar suatu kawasan tertentu. Bahasa daerah juga boeh dikenali sebagai loghat atau dialek yang mempunyai kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Bahasa daerah mempunyai kepelatan bunyi sebutan dan lenggok atau gaya menuturkan.

    Bahasa daerah berbeza mengikut negeri dan timbul disebabkan faktor terpisah tempat, terpisah zaman, berlainan pengalaman dan berlainan pengaruh luar. Faktor terpisah tempat disebabkan oleh keadaan muka bumi seperti banjaran gunung, sungai besar, terpencil di pulau dan sebagainya yang mengakibatkan perbezaan ciri dialek. Contoh dialek tersebut ialah dialek Kedah dan dialek Kelantan yang terpisah oleh banjaran Gunung Titiwangsa.

    Faktor terpisah zaman pula menyebabkan ciri dan sifat bahasa dialek berbeza. Semakin banyak terpisah semakin banyak berbeza. Contohnya, bahasa Melayu Pulau Cocos sejak tahun 1826, Pulau Christmas pada awal abad ke-20 dan Tanah Besar Australia pada tahun 1960. Faktor berlainan pengalaman pula menghasilkan dialek yang berlainan atau sekurang-kurangnya kata yang berbeza. Contohnya, ‘musim tengkujuh’ hanya digunakan di pantai timur sahaja. Berlainan pengaruh ialah bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia berbeza dengan bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia walaupun asalnya bahasa Melayu dari induk yang sama, iaitu bahasa Melayu Johor-Riau. Namun begitu, kerajaan Johor dan Riau terpisah melalui taklukan penjajah, iaitu Johor dipengaruhi oleh Inggeris manakala Riau dipengaruhi oleh Belanda dan bercampur dengan bahasa daerah yang lain. Jadi, bahasa Melayu mengalami perbezaan mengikut daerah dan kawasan tertentu.

   Kesimpulannya, bahasa daerah yang berbeza-beza sebenarnya merupakan variasi bahasa Melayu yang mengikut negeri dan kawasan yang berlainan. Kepelbagaian bahasa daerah sebenarnya menunjukkan kekayaan bahasa sesebuah bangsa lebih-lebih di Malaysia terdapat pelbagai dialek seperti di negeri  Sabah, Sarawak dan kawasan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita harus mengekalkan bahasa daerah ini untuk menjadi lambang sesebuah masyarakat di negara kita. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa kita tidak dibenarkan menggunakan bahasa dialek ketika bercakap atau menulis dalam situasi formal kerana negara kita menggunakan bahasa Melayu standard sebagai bahasa pengantar ilmu. Jadi, selain fasih berbahasa daerah, kita juga perlu fasih berbahasa Melayu baku.

No comments:

Post a Comment