Tuesday 2 April 2013

Bahasa Slanga


Salam 1Malaysia para pembaca sekalian. Baiklah, entri saya kali ini berkaitan dengan penggunaan bahasa slanga. Bahasa slanga menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1511) mendefinisikan bahasa slanga sebagai kata-kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa baku serta biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Bahasa slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya secepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan muda seperti pelajar universiti atau golongan professional untuk komunikasi dalaman bagi menghindarkan daripada diketahui oleh komuniti bahasa yang lain. Dalam bahasa slanga, kata-kata baharu muncul dan kemudian hilang dengan cepat. Kata-kata bahasa slanga diambil daripada dialek atau bahasa kaum lain termasuk bahasa penjajah, kemudian diberi pengertian atau konotasi tertentu. Contoh bahasa slanga yang kerap digunakan dalam kalangan remaja seperti  cun, melepak, mat rempit, buat derk dan banyak lagi.  

     Bahasa slanga jika kerap digunakan dalam pertuturan dapat mempengaruhi kosa kata yang digunakan oleh seseorang tersebut dalam penulisan formal dan komunikasi formal. Bahasa slanga yang melanda para remaja kita seharusnya dibendung untuk mengelakkan mereka melakukan kesalahan bahasa tidak kira dalam penulisan ataupun dalam komunikasi formal. Kita ambil contoh mudah, penggunaan bahasa slanga dalam sistem pesanan ringkas  yang digunakan oleh golongan muda kadangkala membuatkan kita tidak memahami dan mengerti maksud sebenar yang ingin disampaikan.

     Bahasa slanga yang kerap digunakan dalam pertuturan menyebabkan golongan muda khususnya pelajar, tidak mampu untuk menghasilkan karangan atau penulisan yang baik. Selain itu juga, kegagalan untuk berkomunikasi dalam situasi formal adalah disebabkan pengaruh bahasa slanga yang sudah menjadi kebiasaan para pelajar.

    Oleh hal yang sedemikian, sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan bahasa kebangsaan, kita hendaklah mengelakkan daripada menggunakan bahasa slanga kerana penggunaan bahasa slanga yang terlalu kerap dalam kehidupan seharian akan menyebabkan kita terbiasa dan mencampur adukkan bahasa slanga dengan bahasa Melayu baku. Tidak salah untuk kita bertutur dalam bahasa baku kerana ia mampu melatih kita untuk berkomunikasi secara formal dan membantu kita membina ayat yang betul dalam penulisan ilmiah, amnya. Gunakanlah bahasa kebangsaan kita sebaik-baiknya kerana melalui bahasalah terpancar salah satu identiti kita sebagai masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment