Tuesday 12 March 2013

Osman Baku..

Entri kali ini saya akan berkongsi pandangan dengan warga blog sekalian berkaitan dengan salah satu drama televisyen yang sedang ditayangkan di TV1 yang bertajuk ‘Osman Baku’. Cuba tengok video yang saya selitkan bersama ini.

     

   Video ini merupakan sedutan daripada drama Osman Baku yang memarahi seorang doktor kerana menggunakan bahasa rojak, iaitu menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Inggeris ketika bercakap dengan pesakit. Watak Osman Baku dalam drama ini sangat memberi pengajaran kepada masyarakat sekiranya kita mendalami mesej yang ingin disampaikan. Saya sangat menyukai drama ini kerana drama sebegini sedikit sebanyak mampu mencelikkan minda masyarakat kita yang semakin giat menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian.  
    Jika kita asyik menggunakan bahasa asing dalam kehidupan seharian, di mana letaknya bahasa ibunda kita sendiri? Perkara yang akan menjadi  kelaziman kita adalah perkara yang kita kerapkali  gunakan dalam kehidupan. Begitu juga bahasa, jika sering kali kita menuturkan bahasa asing melebihi bahasa kita sendiri, saya yakin suatu hari nanti, kita sendiri pasti lupa bagaimana menuturkan bahasa kita. Contohnya, watak doktor dalam drama Osman Baku yang saya selitkan ini, hendak bercakap Bahasa Melayu baku pun tidak fasih dan dicampuradukkan dengan Bahasa Inggeris. Sepatutnya, beliau mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu standard dengan baik agar bila menemu bual  pesakit-pesakit nanti , beliau akan lebih cakna dengan keadaan kesihatan pesakit. Bayangkan, jika doktor ini bercakap dengan orang kampung yang langsung tiada pengetahuan dalam Bahasa Inggeris, sudah pasti mesej yang hendak disampaikan tidak begitu berkesan.
    Sedihnya, pada zaman millenium, ini ramai ibu bapa di luar sana yang mendidik anak-anak mereka  dengan berkomunikasi melalui bahasa asing. Seakan-akan, Bahasa Melayu kita tidak cukup ‘kuat’ untuk menyampaikan perkara-perkara yang berguna. Cuba kita lihat kesungguhan orang asing mempelajari bahasa kita, mereka sangat teruja untuk belajar mendalami Bahasa Melayu untuk menambahkan ilmu pengetahuan mereka, sedangkan kita penutur jati Bahasa Melayu sering mengabaikan bahasa sendiri. Jika kita hayati kata-kata Hang Tuah yang mengatakan "tidak akan Melayu hilang di dunia" salah satu sebabnya adalah dari segi bahasa. Bahasa merupakan jiwa bangsa, jika bangsa sendiri tidak mengambil peduli bahasa ibunda, nescaya bangsa kita pun orang tidak kenal pada suatu tika nanti. Marilah kita sama-sama menyemai dalam diri agar sentiasa mengamalkan bahasa kebangsaan kita dalam pertuturan mahupun penulisan seharian.


No comments:

Post a Comment