Tuesday 19 March 2013

K/P atau K.P ?


Salam sejahtera warga blog sekalian. Kali ini saya akan menulis berkenaan dengan satu perkara yang saya baca dalam buku ‘Di Sebalik Kata’ yang ditulis oleh Zaidi Ismail (2008). Tujuan saya memilih entri begini untuk bersama-sama membuka mata kita tentang ejaan yang salah tetapi kita tidak perasan ataupun peka dengan ejaan tersebut. Baiklah, dalam buku ini ada persoalan yang penulis ketengahkan, iaitu singkatan kad pengenalan sama ada K/P atau K.P. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2005:625) mentakrifkan kad pengenalan sebagai kad yang mengandungi keterangan tertentu tentang diri seseorang, misalnya nama, alamat, bangsa, dan lain-lain butiran peribadi yang penting. Kad pengenalan ialah nama am. Jadi, apabila menulis hendaklah dengan huruf kecil keseluruhannya kecuali pada awal ayat dan ditulis dengan huruf besar ialah huruf K. Perkataan kad pengenalan biasanya ditulis Kad Pengenalan, iaitu menggunakan huruf besar pada setiap pangkal perkataan. Selain ditulis dalam perkataan yang penuh, kad pengenalan juga biasanya ditulis dalam bentuk singkatan dan singkatan yang biasanya digunakan ialah k/p atau K/P (huruf besar). Persoalannya, adalah cara penulisan itu betul menurut sistem Bahasa Melayu. 


Dalam penulisan singkatan, perkara-perkara berikut harus dipatuhi, iaitu:
1.  Singkatan sapaan, jawatan, dan pingat yang lebih daripada satu perkataan tidak menggunakan titik dan ditulis dengan huruf besar semuanya. Contohnya:
YB – Yang Berhormat
AMN – Ahli Mangku Negara

2.   Singkatan gelaran, jawatan, pangkat dan sapaan yang terdiri daripada satu perkataan pula ditulis menggunakan titik. Contohnya:
DR – Doktor
Prof. – Profesor

3.     Singkatan yang sudah umum juga ditulis menggunakan titik, manakala untuk singkatan yang terdiri daripada tiga huruf atau lebih ditulis menggunakan satu titik. Contohnya:
b.p – bagi pihak
dll. – dan lain-lain

4.    Singkatan nama ibu negeri atau bandar, negara, jabatan, institusi, organisasi, dan nama-nama khas yang seumpamanya ditulis tanpa menggunakan titik. Huruf yang digunakan juga ialah huruf besar yang merupakan huruf pertama setiap perkataan. Contohnya:
KB – Kota Bharu
UK – United Kingdom

5.       Singkatan khusus yang menjadi lambang atau simbol tidak menggunakan titik. Contohnya:
km – kilometer
kg – kilogram

Hal ini menunjukkan singkatan untuk kad pengenalan termasuk dalam perkara ketiga, iaitu singkatan umum. Cara menulis singkatan kad pengenalan ialah k/p atau K/P adalah tidak tepat. Singkatan yang sebetulnya k.p atau K.P. Jadi, pembaca sekalian, kita sudah mengetahui singkatan yang sebetulnya untuk kad pengenalan dan marilah kita sama-sama gunakan singkatan yang sebetulnya mengikut sistem bahasa.

No comments:

Post a Comment