Wednesday 20 March 2013

“Thank You” atau “Terima Kasih”


Apa khabar pembaca sekalian? Diharap semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca berkaitan dengan pemerhatian saya terhadap sikap sesetengah masyarakat kita dalam menggunakan bahasa Melayu. Kejadian ini saya lihat ketika saya menaiki bas untuk balik ke kolej kediaman saya selepas habis kuliah. Hal ini kerana pengangkutan utama para pelajar yang tinggal di kolej-kolej kediaman adalah bas yang telah disediakan oleh pihak universiti. 

Baiklah, kelazimannya, para pelajar yang turun dari bas selepas tiba di destinasi akan mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu bas yang bertugas. Dipendekkan cerita, ketika saya menunggu giliran untuk turun dari bas tersebut, saya memerhatikan gelagat dua orang pelajar antarabangsa dari China. Mereka mengucapkan ‘terima kasih’ dalam bahasa Melayu kepada pemandu bas tersebut. Bangga saya dengan sikap pelajar antarabangsa ini kerana semasa berada di dalam bas tadi saya lihat mereka berdua bertanya kepada pelajar Melayu cara untuk mengungkapkan beberapa perkataan dalam bahasa Melayu. Saya melihat mereka begitu teruja mempelajari bahasa Melayu. Di sini kita sebagai penutur jati bahasa Melayu mesti mengambil iktibar bahawa bahasa rasmi kita semakin terkenal dalam kalangan orang asing. Kenapa kita masyarakat Malaysia sendiri lebih teruja menggunakan bahasa asing dalam pertuturan seharian? Barangkali pelajar antarabangsa ini mempunyai kesedaran bahawa mengetahui serba sedikit bahasa Melayu di Malaysia boleh memudahkan urusan mereka di negara ini. Malangnya, ketika turun dari bas tersebut saya dapati beberapa pelajar Melayu lebih ringan mulut mengucapkan “thank you” kepada pemandu bas tersebut.

Sepatutnya, kita yang menjadi contoh kepada orang asing dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita berbanding bahasa Inggeris kerana perlakuan kita ini mampu membuka mata orang asing untuk mempelajari bahasa Melayu. Jika kita sendiri mengabaikan bahasa rasmi negara, bagaimana kita hendak mengangkat bahasa kita di mata dunia? Justeru, kita hendaklah meringankan mulut menggunakan bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian mahupun dalam urusan seharian. Kelaziman ini akan menimbulkan tabiat dalam diri kita penutur natif bahasa Melayu. Bahasa jiwa bangsa dan kita mestilah menghayati slogan ini dengan sebaik-baiknya. Tepuk dada, tanya hati wahai pembaca sekalian. Sekian.

No comments:

Post a Comment