Thursday 21 March 2013

Bahasaku, Kebanggaanku..

Salam sejahtera pembaca sekalian. Entri saya kali ini berkaitan dengan situasi yang saya alami di dalam kuliah pagi tadi. Kuliah tersebut diadakan dari pukul 8-10 pagi tadi (20.3.2013). Seperti biasa, saya mengambil tempat duduk bersama rakan-rakan saya sebelum pensyarah kami masuk ke kelas. Tidak lama kemudian, selepas pensyarah kami masuk ke kelas, muncul seorang pelajar antarabangsa yang berbangsa Korea. Kami semua berasa pelik kerana selama 5 minggu kuliah berlangsung, kami tidak mempunyai pelajar antarabangsa dalam kursus tersebut. Barangkali, pelajar ini baru mendaftar dan ketinggalan beberapa kelas dari minggu pertama sesi pembelajaran diadakan. Pensyarah kami memberitahu bahawa beliau akan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajarkan kursus tersebut memandangkan kami mempunyai pelajar antarabangsa. Kuliah berlangsung seperti biasa cuma pensyarah kami menggunakan bahasa Inggeris untuk menyampaikan kuliah secara selang-seli untuk memudahkan kami memahami sesi pembelajaran tersebut. 

Kemudian, pensyarah kami meminta kami membaca teks dalam buku rujukan yang kami beli dan mengatakan beliau akan menanyakan pendapat kami berkenaan kefahaman kami berkaitan dengan teks tersebut. Pensyarah kami memberitahu pelajar antarabangsa tersebut sama ada beliau memahami perkara yang disampaikan. Pensyarah kami juga bertanya kepada pelajar itu sama ada beliau boleh mengikuti kuliah tersebut atau sebaliknya. Tanpa disangka-sangka, pelajar tersebut menggunakan bahasa Melayu dan memberitahu bahawa beliau memahami sedikit bahasa Melayu. Riuh sekejap kelas kami dek kerana gembira dengan pengakuan pelajar Korea tersebut. 

Saya berasa kagum dengan pelajar tersebut kerana mampu berbahasa Melayu kerana di negara kita, menjadi satu kelebihan kepada orang luar yang berada di Malaysia untuk berkomunikasi kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris. Saya berasa bangga kerana bahasa kita diketahui oleh orang asing sehingga mereka bersedia untuk belajar dalam bahasa kita. Ini merupakan satu penghargaan kepada bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu kita sudah dipelajari orang asing dan kita sebagai penutur jati Bahasa Melayu perlu sentiasa berbangga menggunakan bahasa kebangsaan kita walau di mana sahaja kita berada. Sekian.

No comments:

Post a Comment